Sunday, January 15, 2012

Bukan Milikmu - Salleh Shihabudin

Posted by Hajar at 9:14 PM

Tajuk: Bukan Milikmu
Penulis: Salleh Shihabuddin
Penerbit: Buku Prima
Harga : RM19.90
Sabah/Sarawak: RM22.90
Halaman: 469 mukasurat
ISBN: 9789670342016

Bukan Milikmu ini menyingkap masalah sosial yang memang berlaku pada hari ini.

Nor Akma dan Nor Atika, dua beradik yang menjadi harapan keluarga. Lebih-lebih lagi Nor Akma. Nor Akma merupakan pelajar cemerlang yang juga merupakan atlit di sekolah. Akibat kesilapannya yang terlalu mempercayai lelaki yang baru dikenalinya melalui Facebook (kalau ikut timeline yang sebenar, facebook belum wujud lagi zaman tu :P) Akma disahkan mengandung benih lelaki yang hanya dikenali sebagai Jimi itu.

Tapi akibat tidak mengetahui dan mengenali latar belakang Jimi, Nor Akma tidak tahu bagaimana nak mencari Jimi untuk bertanggungjawab ke atas kandungannya. Akma bernasib baik kerana guru kelasnya, Cikgu Zamri dan guru kaunseling, Cikgu Rosni sudi untuk membantu menyelesaikan masalah Nor Akma. Namun, belum sempat masalah diselesaikan, ibu bapa Nor Akma dapat menghidu kelainan tingkahlaku anak mereka sehingga terbongkar rahsia kandungan Nor Akma. Nor Akma akhirnya dihalau keluar daripada rumah ibu bapanya kerana memalukan keduanya.

Selepas dihalau keluar, Nor Akma membawa diri dan akhirnya bertemu dengan sepasang suami isteri yang baik hati. Mereka akhirnya setuju untuk mengambil Nor Akma sebagai anak angkat mereka. Mereka juga mempunyai seorang lagi anak perempuan bernama Najwa yang akhirnya menjadi teman baik Nor Akma Nor Akma tidak mengetahui yang kedua ibu bapa angkatnya itulah ibu bapa Najeev Hakimi, si lelaki yang telah menodainya.

Setelah melahirkan Nur Eiman, Nor Akma menyambung pengajiannya di Universiti Malaya. Di sini Nor Akma bertemu kembali dengan teman karibnya di sekolah lama, Erna. Dalam masa yang sama Nor Akma juga bersahabat baik dengan Izham Hafiz. Izham sebenarnya menyintai Nor Akma, tetapi memikirkan statusnya Nor Akma agak keberatan untuk menerima Izham dalam hidupnya. Bila Nor Akma dah bersedia untuk menerima, Izham pula menjauhkan diri akibat termakan fitnah yang ditaburkan oleh seseorang yang dengkikan Nor Akma. Akibat selisih faham tersebut, hubungan Nor Akma dan Izham terputus tanpa Nor Akma menerangkan kedudukan sebenar Nur Eiman dalam hidupnya.

Setahun kemudian, mereka dipertemukan kembali di bawah satu bumbung bila Izham bertukar kerja ke tempat kerja yang sama dengan Nor Akma. Hubungan yang keruh berjaya dijernihkan bila mereka ditugaskan untuk menyelesaikan satu tugasan. Nor Akma akhirnya menerima Izham dalam hidupnya.

Namun, pertemuan semula Nor Akma dengan Najeev Hakimi di London semasa menyaksikan konsert Siti Nurhaliza berjaya menoreh luka Nor Akma kembali. Najeev Hakimi yang telah pun bertunang dengan Nor Atika (tanpa diketahui oleh Nor Akma) sanggup menikahi Nor Akma semata-mata untuk bertanggungjawab dan menebus dosa silamnya.

Siapakah pilihan Nor Akma? Apakah reaksi Izham Hafiz bila mengetahui hakikat siapa sebenarnya Najeev Hakimi dalam hidup Nor Akma? Bagaimana reaksi ibu dan bapa Najeev Hakimi serta ibu dan bapa Nor Akma setelah mengetahui hakikat sebenarnya selama ini?

Komen saya: Naskhah ini sebenarnya agak menarik, cuma ketidak-pekaan pengarang dengan timeline semasa menulis agak mengganggu tumpuan pembacaan.

0 comments:

Post a Comment

 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review