Sunday, April 29, 2012

Versus - Hlovate

Posted by Hajar at 10:00 PM 1 comments
 

Tajuk: Versus
Penulis: Hlovate
Penerbit: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Harga: RM19.00
Sabah/ Sarawak: RM 22.00
Halaman:  432 mukasurat
ISBN: 9789675118333

The hardest battle is when you're against yourself - Ashraff Omar

Setelah 2 tahun buku ni tersimpan elok dalam rak buku saya, akhirnya tergerak juga hati nak koyakkan plastik dan baca kembali Versus ni. :)

Kalau anda mengharapkan cerita yang manis bergula untuk Versus, lupakan sajalah niat anda itu. Sebab Versus ni mengajak kita merenung dan muhasabah diri untuk jadi individu yang lebih baik. Kekadang rasa macam masuk kelas tazkirah setiap pagi Jumaat pulak masa membaca Versus ni. Alhamdulillah. :)

Versus mengisahkan perjalanan dua individu berbeza, Ashraff Omar (AO) dan Minn Edina (Minn) untuk jadi insan yang lebih baik. Kita boleh nampak macam mana payahnya perasaan Minn bila terpaksa meninggalkan dunia skaters dan mengubah diri daripada Ed'Sassin kepada Minn Edina. Begitu juga dengan  AO yang pada mulanya mencari dan memperbaiki diri kerana seorang Minn Edina. Tapi kemudiannya bila menyedari perubahan yang dilakukan takkan kekal lama hanya kerana disebabkan oleh sesuatu, AO berniat memperbaiki diri untuk menjadi insan cemerlang di dunia dan akhirat. :) Dan semestinyalah kan diselitkan juga kisah cinta terpendam antara Minn dan AO dalam kisah ni. Ada Ked Flop (Ked's Story, Pelangi) juga terselit dalam ni. Dapat juga tahu macam mana pengakhiran kisahnya dengan Nawal. Hehe.

Satu yang ditekankan dalam naskhah ini adalah definisi 'baik'. Apa definisi baik tu pada diri kita? Adakah dengan cukup solat lima waktu (walaupun di akhir waktu) tu dah di kira baik? Atau, bila kita berjaya meninggalkan segala yang dilarang dan buat apa yang dituntut tu dah dikira sebagai baik? Sama-samalah kita cari jawapannya. :)

Komen saya: Bukan senang nak jadi baik. Lebih-lebih lagi bila kena menahan godaan nafsu dan terpaksa meninggalkan perkara-perkara yang dah terbiasa dibuat. Saya tertarik dengan sedikit catatan yang tertulis di muka depan buku ini : Berubahlah walaupun payah. Berubahlah ke arah hidup lebih indah. Hidup dan masa muda sekali cuma. Sanggup nak sia-siakan tanpa redha-NYA?  Renung-renungkanlah. Tahniah untuk Hlovate yang tak pernah gagal buat saya berfikir setiap kali membaca bukunya. :)

  




Friday, April 27, 2012

Maaf Jika Aku Tak Sempurna - Acik Lana

Posted by Hajar at 9:51 PM 3 comments
Tajuk: Maaf Jika Aku Tak Sempurna (MJATS)
Penulis: Acik Lana
Penerbit: Kaki Novel Enterprise
Harga: RM34.00
Sabah/ Sarawak: RM 37.00
Halaman:  947 mukasurat
ISBN: 9789675067983

Ini lagi satu karya yang saya rasa ramai yang suka sebab ia bertemakan kahwin paksa err, kahwin sebab wasiat untuk istilah lebih tepatnya dan juga sebab banyak adegan yang 'manis bergula' di dalamnya. :)

Karya kedua Acik Lana ni membawa kita ke dalam dunia seorang Melina yang pada awalnya digambarkan seorang yang agak liar dan memberontak. Kemudian ditemukan pula dengan Luqman, si bodyguard merangkap driver yang diupah oleh bapa Melina, Datuk Zakri untuk mengawasi pergerakan Melina. Luqman memang jadi mangsa cemuhan Melina ajelah masa ni. Tapi sebab dah diamanahkan, maka terpaksalah Luqman bersabar dengan segala kata-kata Melina yang kasar tu.

Kemudian bila Datuk Zakri meninggal dunia dan mewasiatkan supaya Luqman dan Melina berkahwin, memang jadi cabaranlah untuk mereka untuk adapt dalam perkahwinan tanpa rela ni. Alah, tipikallah. Dah boleh agak kan? Berawal dari benci kemudian dok berkasih sayang. Yang buatkan tebal buku ni sebab part ni je kot?

Biasalah, orang kata mana ada bahtera yang tak dilambung ombak?  Rumahtangga siapa yang tak dilanda badai? Macam tu juga dengan rumahtangga mereka berdua ni. Kebahagiaan yang dikecapi bagaikan diragut sekelip mata bila Luqman ditangkap berkhalwat dalam keadaan mengaibkan dengan Sarah (kawan sekampung yang memang ada perasaan pada Luqman). Haish. Kesian Luqman. Eh eh?

Melina yang kecewa bila dapat tahu Luqman bakal berkahwin dengan Sarah membawa diri ke Melbourne untuk mengubati hatinya. Bagaimana pengakhirannya kisah mereka ni?

Buku ni pun rasanya tak sesuai untuk bacaan adik-adik yang masih bersekolah. Banyak sangat scene yang saya rasa tak berapa manis untuk tatapan adik-adik remaja. Memang boleh kata manusia dikurniakan akal untuk fikir apa yang baik dan buruk tapi tak salahkan kita sebagai orang yang lebih dewasa memantau bahan bacaan adik-adik atau anak-anak dibawah umur tu? :)

Komen saya: Sejujurnya saya lebih sukakan Aku Bukan Mistress (ABM) berbanding MJATS ini. Walaupun ABM tu mengetengahkan isu yang lebih berat, saya rasa kisah dan penyampaiannya lebih berkesan berbanding MJATS. Oh lagi satu, dalam MJATS ni ada juga perkara atau info yang sepatutnya penulis kena ambil berat dan buat sedikit penyelidikan sebelum menulis. Salah satunya tentang ibu mengandung yang menaiki penerbangan. Mungkin ada yang akan kata hal ni perkara remeh, cuma rasanya tak salah kalau pembaca diberi info yang sebenar untuk mengelakkan kekeliruan. Boleh rujuk sini untuk info berkaitan ini. :)

Tabik untuk Acik Lana sebab susunan ayat yang agak teratur untuk naskhah ini. Tahniah! :)

Wednesday, April 25, 2012

Bukan Terlarang - Nur Hazma

Posted by Hajar at 9:48 PM 3 comments
Tajuk: Bukan Terlarang
Penulis: Nur Hazma
Penerbit: Tintarona Publications Sdn. Bhd.
Harga: RM35.00
Sabah/ Sarawak: RM-
Halaman:  883 mukasurat
ISBN: 9789833514267

Memula tengok buku ni memang tak sangka ketebalannya mencecah 800 mukasurat. Tapi disebabkan tulisannya besar-besar, maka tak terasa bebananlah nak habiskan pembacaan. :)

Ini salah satu kisah yang rasanya ramai orang gemar, kisah kahwin paksa dan cinta selepas kahwin. :)

Imran dan Maisara bersahabat baik semenjak sekolah sebab diorang ni sekampung. Maisara ni memang menyimpan perasaan ni pada Imran semenjak zaman persekolahan lagi. Maisara ni pun masa dok kat kampung tu dah ada yang berkenan, tapi sebab dia sendiri tak bersedia nak berkahwin, maka dia cari alasan untuk keluar dari kampung tu. Kebetulan pula Imran tawarkan Maisara untuk kerja di pejabatnya dan kemudian tinggal serumah dengan Tina, teman wanita Imran.

Maisara walaupun suka benar pada Imran tu, memang tak tergamak pun nak porak-perandakan hubungan Imran dan Tina. Pasrah je dia walau kekadang terpaksa jadi orang tengah bila terjadi pergolakan dalam hubungan Imran dan Tina tu.

Keadaan jadi sukar bila Imran 'tertangkap basah' oleh ibu bapanya di rumah Maisara. Kebetulan sebelum tu mereka berhujan, jadi Imran cuma tumpang mandi dan menyalin pakaian basahnya di rumah Maisara. Yang harunya sebab Imran pakai kain batik dan t-shirt Maisara. Manalah mak ayah dia tak pelik? Haha. Tapi pelik juga kenapa mak ayah Imran boleh singgah dulu ke rumah Maisara sebelum ke rumah Imran? Agaknya memang nak dijadikan cerita kot? Disebabkan mak Imran ni dah berkenan sangat kat Maisara, memang jadi alasanlah untuk nikahkan mereka berdua tu. Imran pun terpaksalah ikutkan kehendak emaknya sebab dia ni memang jenis tak boleh tengok emak dia menangis. Jadi, terpaksalah buat perjanjian dengan Maisara yang mereka akan bercerai apabila sampai ketikanya supaya Imran boleh kembali pada Tina selepas tu.

Tina ni walaupun dah diyakinkan yang Imran takkan sentuh Maisara, masih tetap dengan rasa curiganya.  Memangla dok bilik berasingan. Tapi bila mak ayah Imran selalu bertandang, terpaksa jugalah berkongsi bilik. Maunya tak curiga si Tina tu? 

Maisara pula memang pandai ambil hati mertua. Segala keperluan Imran pun disediakan secukupnya. Betul-betul ikhlas dari hatinya, bukan lakonan semata. Tapi bila segala rahsia hatinya dah terbongkar dek ke'ramah'an salah seorang sepupu mereka, Imran menuduh Maisara sengaja memerangkapnya supaya berpisah dengan Tina. Haish, memang sabar betul Maisara ni. Kemudian, bila Tina berundur diri daripada hubungan tak pastinya dengan Imran dan kemudian Maisara pula berhubungan baik dengan Zahim, bekas rakan sekolah mereka, Imran mula rasa tercabar. Barulah dia rasa pentingnya Maisara dalam hidupnya.

Bila Imran dah mula nak berdamai, Maisara pula yang jual mahal. Haish, kalau dok bertarik tali je memang tak habis agaknya cerita ni. Haha. Akhirnya Maisara jatuh tergolek-golek juga kat Imran ni. Cuma bila mereka merahsiakan status perkahwinan mereka daripada diketahui rakan-rakan sepejabat, memang jadi masalah bila Imran tertangkap basah pula dengan pembantunya, si Zeta tu. Masa ni lah nak tengok bijak atau bodohnya Imran menangani masalah rumahtangganya. :)

Komen saya: Kisah Bukan Terlarang ni memang nampak macam complicated. Tapi disebabkan pengolahan penulis ni yang tak begitu memeningkan kepala, maka saya tak rasa tertekan pun bila membacanya walaupun bukunya setebal buku teks matematik tambahan.  :)

Saturday, April 21, 2012

Aku Mahu Kamu - Aleya Aneesa

Posted by Hajar at 9:46 PM 6 comments
Tajuk: Aku Mahu Kamu
Penulis: Aleya Aneesa
Penerbit: Alaf 21
Harga: RM 19.90
Sabah/ Sarawak: RM22.90
Halaman: 498 mukasurat
ISBN: 9789831245064

Novel ni merupakan kedua karya Aleya Aneesa yang ada dalam simpanan saya. 

Kisah bermula apabila Qisya Khalesa (Qisya) bertemu dengan Ziyad Falah (Ziyad) bila Ziyad datang ke tempat kerja Qisya bagi memohon lesen perniagaan. Uniknya hubungan mereka berkembang hanya disebabkan sebatang pen oren. Haha. Sebenarnya Ziyad suka mengusik Qisya dan mencetuskan perbalahan sebab dia nampak Qisya tu sedang menanggung kesedihan. Mana kan tidak, buah hati yang dipuja bertahun-tahun berkahwin dengan orang lain. Lepas 2 tahun sibuk-sibuk pula nak cari Qisya semula. Ha, masa nilah Ziyad jadi hero. :)

Selepas insiden tu Ziyad melamar Qisya dengan bermodalkan pen oren dan sebulan lepas tu mereka bernikah.

Bahagia yang dikecapi bertambah-tambah lagi dengan kehadiran Faiq, cahaya mata mereka berdua. Keletah Faiq yang pelbagai menambahkan lagi keserian dalam keluarga mereka. Namun, selepas ulangtahun keduanya, Faiq mula menunjukkan sikap pelik. Rupa-rupanya itu petanda Faiq akan meninggalkan kedua ibu bapanya. Ziyad yang sangat kecewa dengan pemergian Faiq, menyalahkan Qisya atas kecuaiannya. Akibat kedinginan sikap Ziyad itu, Qisya meminta izin untuk pulang ke kampung. Kononnya untuk mengubati hatinya dan juga memberi ruang persendirian untuk Ziyad. Memang nampak Ziyad sangat selfish waktu ni. Selama berapa lama Qisya menghilangkan diri tu memang dia tak peduli langsung tentang keberadaan isterinya tu sampailah Qisya selamat melahirkan anak kedua mereka, Firyal.

Atas rasa kecewa dan rasa bertanggungjawab untuk mengembalikan kegembiraan kepada Ziyad, Qisya nekad tinggalkan Firyal di bawah jagaan Ziyad. Ziyad yang merindui isteri dan anaknya mengambil Firyal sebagai anak angkat disebabkan anak kecil itu ada iras rupa Qisya dan Faiq.

Selepas 4 tahun, Qisya kembali semula dan pertemuan secara tidak sengaja antara Ziyad-Qisya-Firyal di taska milik Qisya membuatkan Ziyad nekad untuk memburu Qisya semula.  Pujian patut diberikan buat Ziyad sebab tak malu mengaku kesalahan dia pada Qisya. :)


Komen saya: Sila sediakan tisu yang banyak atau tuala untuk mengelap air mata bila membaca kisah ini. Hehe.  Ni juga salah sebuah kisah yang agak laju perjalanannya.Kita tak berasa bosan membaca walau ada konflik yang agak berat dalam kisah ini. Tahniah buat penulis dan terima kasih buat si pemberi buku ini. =)

Pergilah Lara - Nor Erny Othman

Posted by Hajar at 12:02 PM 2 comments
Tajuk: Pergilah Lara
Penulis: Nor Erny Othman
Penerbit: Ghostwriter
Harga: RM 19.90
Sabah/ Sarawak: RM -
Halaman: 448 mukasurat
ISBN: 983921697-X

Saya teringatkan novel ni waktu bersembang dengan salah seorang teman semalam. Novel ni salah sebuah novel kegemaran saya. Tapi pelik sebab saya tak rasa tertekan membacanya walaupun plotnya yang agak 'sinetron'. Mungkin sebab perjalanan cerita ni yang agak laju dan tidak meleret-leret.

Kisah tentang Adilah dan adik-adiknya yang dibesarkan dalam kongkongan keluarga, lebih-lebih lagi bapanya. Basir, bapa Adilah lebih mudah termakan cakap-cakap orang luar berbanding ahli keluarga sendiri. Andai ada kesilapan yang dilakukan Adilah dan adik-adiknya sampai ke telinga Basir, alamat mereka bakal dipukul teruk oleh Basir. Disebabkan itu Adilah membesar sebagai remaja yang agak memberontak. Kematian satu-satunya adik lelakinya menyebabkan Adilah dipinggirkan ibu sendiri. Kehadiran Shaharom banyak membantu Adilah dalam pelajaran dan dalam meniti kehidupan harian.

Tamat peperiksaan SPM, Adilah bekerja sementara di Rizz's Book Gallery kepunyaan Faizah. Bertemu pula dgn si Faiz yang suka mencuri bekalan makanannya. Pergaduhan yang kemudiannya menimbulkan perasaan sayang dalam diri Faiz yang dah bosan dengan kerenah girlfriendnya, Farah. Kebetulan masa Faiz dapat tahu Farah curang, ada satu scene dramatik terjadi yang akhirnya mengikat Adilah dan Faiz dalam ikatan pertunangan. Kalau ikutkan Pakcik Basir tu memang nak nikahkan Adilah masa tu juga tapi Faiz pandai berdiplomasi sampai Pakcik Basir setuju untuk tunangkan mereka.  Memang Adilah tak rela, sebab hatinya masih lagi pada Shaharom. Tapi bila dia diundang (secara tak langsung) ke majlis perkahwinan Shaharom, harapannya terus hancur berkecai. Faizlah yang tolong ubati hati Adilah. :)

Adilah pun dah boleh terima Faiz dalam hidupnya sebab terpikat dengan kesabaran Faiz melayani keluarganya. Hubungan pun smooth aje. Konflik antara mereka cuma timbul bila Faizah curiga sebab Adilah rapat dengan Andry. Tapi berjaya ditangani dengan bijak oleh Faiz. Manalah Adilah tak sayang benar dengan Faiz ni? Andry ni sebenarnya peminat setia Adilah sejak zaman sekolah lagi tapi sebab Adilah dah terikat dengan Shaharom dan kemudiannya Faiz, hubungan mereka hanya sekadar kawan rapat. Bila Andry melanjutkan pelajarannya ke luar negara pun, Andry masih setia mengirimkan surat dan poskad buat Adilah. Andry bijak mengawal perasaannya walaupun masih ada perasaan pada Adilah. Cuma bila Adilah dah hampir berkahwin dengan Faiz, Andry membawa diri ke London untuk bekerja. 

Rupanya kebahagiaan yang diharap-harap tu bukan milik Adilah. Hakikat yang Adilah tak boleh berkahwin dengan Faiz benar-benar merobek hati keduanya. Faiz rupa-rupanya abang kandung Adilah yang diserahkan kepada keluarga angkat sejak kecil. Walaupun perit hakikat yang harus diterima, namun akhirnya mereka berbahagia dengan pilihan hidup masing-masing.

Komen saya: Susah dah nak jumpa buku dengan plot rumit yang tak meleret-leret sekarang ni kan? Buku ni memang jadi buku kegemaran saya sebab ia antara buku yang selalu saya ulang baca bila terasa perit dengan kehidupan seharian. At least bila terasa perit, kita tau sebenarnya ada orang yang mengalami dugaan hidup yang lebih hebat daripada kita. :)

Thursday, April 19, 2012

Mahar Setulus Hati - Ayu Emelda

Posted by Hajar at 8:46 PM 1 comments

Tajuk: Mahar Setulus Hati
Penulis: Ayu Emelda
Penerbit: Alaf 21
Harga: RM 21.00
Sabah/ Sarawak: RM 24.00
Halaman: 514 mukasurat
ISBN: 9789831247402

Kisah tentang kahwin paksa? Oh, mungkin paksaan tu hanya daripada sudut padangan Chempaka Harlina (Harlina). Tapi bukannya pada Emir Nazreen (Emir). Walaupun ramai yang menentang hasrat Emir untuk memperisterikan Harlina, Emir tekad dengan keputusannya itu. Yelah, bandingkan Harlina yang 'rebellious' tu dengan Emir yang hampir sempurna sebagai lelaki yang didambakan. Memang umpama langit dan bumi jadinya. Pada Harlina, Emir bersetuju memperisterikannya hanya kerana mahu membalas budi baik keluarga terutamanya Tan Sri Kamarul, ayah Harlina. Bagi Emir pula, perkahwinan mereka bukan kerana membalas budi, tapi lebih kepada ingin memperbaiki cara hidup Harlina.

Memang cabaran buat Emir lepas berkahwin dengan Harlina bila si isteri masih tetap dengan perangai dan cara hidupnya sebelum berkahwin. Ditambah pula dengan perangai kasar yang ditunjukkan Harlina lepas mereka berkahwin. Memang tabiklah dengan Emir ni. Alhamdulillah cahaya keinsafan tu timbul juga selepas kawan-kawan Harlina ni ditimpa musibah. Kehadiran anak dalam kandungan Harlina juga membantu mereka memperbaiki hubungan.

Namun, bahagia yang mereka kecapi berkecai juga. Keluarga Emir yang datang bertandang membawa kedukaan bila Harlina asyik makan hati je dengan kelancangan mulut adik iparnya, Zetty. Jadi bila Harlina terlampau tertekan, dia bertindak menghalau ibu mertua dan adik-adik iparnya dari rumahnya semasa ketiadaan Emir. Emir sangat kesal dengan tindakan Harlina sebab dia rasa dia gagal mendidik Harlina untuk jadi lebih baik. Jadi dia bertindak menjauhkan diri sebab tak dapat memaafkan kesalahan yang dah dilakukan oleh Harlina tu.

Sikap dingin Emir selepas kemalangan yang hampir meragut nyawanya juga hampir-hampir menyebabkan Harlina berputus asa. Namun, sokongan dari keluarga dan anak dalam kandungannya membuatkan Harlina kuat menghadapi kerenah Emir. Lalu bagaimana penyudahnya hubungan mereka ini?

Pengakhiran yang simple, tapi macam masih ada persoalan yang tergantung di situ.

Komen saya: Kisah yang simple, banyak pengajaran untuk suami / isteri atau bakal suami / bakal isteri. Menariknya di setiap halaman pertama bab, ada petikan daripada Al-Quran dan Hadith yang boleh kita jadikan panduan. Cuma cetakan pertama yang saya beli ni banyak sangat typo dan kelemahan dari sudut editing. Mungkin boleh diperbaiki untuk cetakan akan datang. :)

Sunday, April 15, 2012

Kasino - Saifullizan Tahir

Posted by Hajar at 11:53 AM 0 comments

Tajuk: Kasino
Penulis: Saifullizan Tahir
Penerbit: Buku Fixi
Harga: RM 18.00
Sabah/ Sarawak: -
Halaman: 280 mukasurat
ISBN: 9789671038444

Ini buku kedua daripada Buku Fixi yang saya baca selepas Zombijaya. Bila habis membaca buku saya yang berasa lega. Sebab sebenarnya semua tu hanyalah permainan dunia politik semata. :p

Mengisahkan perjalanan selama 14 hari Dato' Mohd Narcissus Yussof, seorang usahawan bumiputera yang terpaksa mencari alternatif untuk memulangkan kembali wang yang terhutang kepada kerajaan negeri Tualang sebanyak RM 3.8 juta. Wang itu sebenarnya adalah wang pendahuluan pembayaran untuk majlis perasmian projek bernilai jutaan ringgit di Kuala Tualang.

Dalam tempoh 14 hari ni memang jauh perjalanan Dato' Narcissus ni. Dari Malaysia membawa ke Australia dan akhirnya ke Singapura. Yela, cuba kita bayangkan kalau kita sendiri yang duduk dalam situasi ini. Mesti kita akan cuba sehabis daya untuk dapatkan juga wang yang kita perlukan kalau tak mahu dihadapkan ke SPRM. Heh.

Percaturan terakhir Dato' Narcissus adalah dengan mencuba nasib di kasino antarabangsa. Adakah dia berjaya mengumpulkan wang yang diperlukannya itu?


Komen saya: Agak mengagumkan sebab saya berjaya habiskan pembacaan buku ni dalam tempoh sehari sahaja. Amaran awal sekiranya hendak membaca buku ini, silalah buka minda anda seluas-luasnya supaya dapat menghadamkan apa yang disampaikan di dalam buku ini dengan sebaiknya.

Secara jujurnya saya sendiri akui bahawa saya agak tidak selesa dengan babak-babak maksiat yang diselang-selikan dengan babak solat di dalam naskhah ini. Haih. Memang, secara teorinya memang kita selalu kata sepatutnya tiang yang lima itulah yang jadi filter supaya kita tak terjerumus dalam kancah maksiat. Tapi kalau kita tengok dunia sekarang pun, memang inilah yang terjadi sebenarnya kan? Cuma, sebaiknya kita fikir daripada sudut yang positif sahajalah di sini. :)

Amaran kedua dan terakhir saya adalah, buku ini TIDAK sesuai dibaca oleh adik-adik yang masih bersekolah. Nanti ada pula yang nak menyalahkan penulis sekiranya mereka terikut-ikutkan dengan apa yang disampaikan dalam buku ini. :)

Friday, April 13, 2012

Isteri Separuh Masa - Suri Ryana

Posted by Hajar at 9:23 PM 2 comments

Tajuk: Isteri Separuh Masa
Penulis: Suri Ryana
Penerbit: Kaki Novel Enterprise
Harga: RM 22.00
Sabah/ Sarawak: RM 25.00
Halaman: 551 mukasurat
ISBN: 9789675067969

Novel kedua Suri Ryana ni membawa kita menyelami kehidupan seorang Medina Izwani (Wani) yang dibesarkan oleh keluarga angkat. Hubungan dengan keluarga angkatnya memang baik sehinggalah Wani dah ter'kantoi'kan kekasih hati Nazrin (abang angkatnya), Zita yang curang di belakang Nazrin. Semenjak hari itu, Nazrin memusuhi Wani kerana dia menganggap Wanilah punca keluarganya tidak dapat menerima Zita sebagai menantu dalam keluarga itu.

Namun, sebelum Nazrin menyambung pengajiannya ke luar negara, nenek mereka dah bercadang untuk menjodohkan mereka berdua. Alasannya, tak mahu Wani pergi jauh dari keluarga mereka. Nazrin memang dah tentulah menentang perkahwinan ni. Tapi bila kesihatan nenek mereka jadi taruhan, mereka terpaksa akur dengan kehendak keluarga mereka.

Kisah mereka bermula selepas empat tahun iaitu setelah Nazrin bergelar Dr. Nazrin dan mengajar Wani tutorial. Heh. Memang sah-sah la kena buli kan? Paling tak sangka, keluarga mereka siap ambush rumah Nazrin konon-kononnya rindu dengan anak menantu. Kelam kabutlah Wani mengangkut barang dari asrama semata untuk berpindah masuk ke rumah Nazrin. Oleh kerana mereka kahwin pun bukan atas dasar suka sama suka, Nazrin dah siapkan satu bilik yang berasingan buat Wani. Cerdiknya Nazrin, bilik mereka ni ada connection door antara keduanya. Jadi tak nampaklah macam dua bilik yang berasingan. Jenuh juga nak berlakon macam suami isteri yang bahagia. Lagi terseksa bila si nenek dan pembantu rumah mereka (Mak Timah) nekad untuk tinggal situ lebih lama. Haha.

Walaupun setelah hampir empat tahun berumah tangga, Nazrin masih lagi berhubung dengan Zita. Setia betul walaupun Zita tu bukanlah baik sangat. Wani pula masih tetap bertahan walaupun banyak je kata-kata kesat dan sinis yang keluar dari mulut Nazrin tu. Tabah sungguh. Zafril datang nak mengorat pun tegas ditolaknya sebab Wani masih ingat status dia sebagai isteri orang.

Rupanya rancangan nenek dan Mak Timah untuk tinggal lebih lama adalah untuk menyedarkan Nazrin tentang Zita. Bila dah terbongkar, barulah Nazrin sedar yang Wanilah isteri yang didambakan selama ini. Dan bermulalah sesi lovey-dovey mereka ni. Haha. Tapi mujurlah Nazrin tu tak 'terlebih gula' macam Mr. F. Phew.

It's a happy ending walaupun saya rasa scene Zafril culik Wani tu macam add on scene je. Kalau letak scene tu sebelum Wani dan Nazrin berbaik mungkin nampak effect yang lebih baik untuk hubungan mereka berdua ni.

Komen saya: Kisah santai biasa yang ramai orang suka. Lebih-lebih lagi kalau dah pernah mengikuti kisah ini di blog penulis. Bagi saya ia cuma kisah biasa yang cliche tapi masih boleh layan lagi sebab tak banyak sangat adegan 'terlebih gula' yang boleh buat saya rasa 'cemuih' :)

Wednesday, April 11, 2012

Lukisan Jiwa - Mardihah Adam

Posted by Hajar at 7:54 PM 0 comments

Tajuk: Lukisan Jiwa
Penulis: Mardihah Adam
Penerbit: PTS Litera Utama Sdn. Bhd.
Harga: RM 17.00
Sabah/ Sarawak: RM 19.00
Halaman: 381 mukasurat
ISBN: 9789833892495

Bagi mereka yang mengikuti kisah Yang Terindah di blog penulis, buku ini adalah kisah tentang perjalanan hidup Nur Cahaya (Cahaya) sebelum dan sesudah berkahwin dengan arwah Shafi'e.

Cahaya dibesarkan oleh Makcik Anida, iaitu ibu tirinya setelah kematian ibu kandungnya. Seperti yang kita tahu fakta tipikal tentang ibu tiri, pastinya anak tiri akan jadi mangsa penderaan si ibu tiri. Begitu juga yang terjadi kepada Cahaya. Memang kesian dengan Cahaya ni. Ayahnya sibuk mencari rezeki, si ibu tiri pulak sibuk menghabiskan duit ayahnya. Terpaksalah Cahaya mencari alternatif untuk perbelanjaan perubatan datuknya, iaitu dengan melukis.

Pertemuan demi pertemuan secara tak sengaja dengan seorang lelaki misteri dalam tren setiap kali keluar melukis selepas balik sekolah membuatkan Cahaya tertanya-tanya siapa gerangannya lelaki tu. Dah macam stalker dah gaya Shafi'e tu. Bila dah kenal, rupanya Shafi'e kata dia memang selalu perhatikan Cahaya. Dia banyak bantu Cahaya secara diam-diam dengan membeli lukisan Cahaya.

Kemuncak penderitaan Cahaya dengan Makcik Anida ialah bila Cahaya dipukul teruk bila dia melabelkan adik tirinya, Sofea dengan gelaran bohsia. Memang bohsia pun si Sofea tu. Pergaulan bebas sangat, tapi Makcik Anida mestilah tak percaya kan? Malangnya ayah Cahaya yang ditahan polis atas tuduhan mendera dan jadi pengedar dadah gara-gara dadah yang dijumpai dalam lori yang dipandunya. Datuknya pun dihalau keluar dari rumah tu. Dahla datuknya tu hilang pengelihatan. Memang kejam la Makcik Anida tu.

Keluar hospital memang Cahaya terus hilang puncalah. Masa inilah Shafi'e memainkan peranan, memujuk Cahaya dan memberi tempat perlindungan untuk Cahaya buat sementara. Disebabkan Shafi'e rasa tak elok dia dok keluar masuk rumah yang ditumpangi Cahaya tu, Shafi'e nekad melamar Cahaya untuk jadi isteri. Tapi biasalah, Cahaya ni kan muda lagi. SPM pun tak lepas lagi. Manalah nak fikir hal nikah kahwin tu semua. Bila Cahaya kena culik dan dipukul lagi sekali oleh Makcik Anida (kali ni sebab Cahaya tak mahu serahkan hak milik rumah dan tanah yang didiami mereka tu) sampai warded, Shafie nekad untuk minta izin ayah Cahaya di penjara untuk menikahi Cahaya.

Lepas kahwin pula, dugaannya lain. Yang pastinya Datin Suriani, ibu Shafi'e memang menentang habis-habisan perkahwinan mereka ni sampai sanggup halau Shafi'e dari rumah. Namun, satu dugaan yang paling mencabar bagi Cahaya adalah bila Shafi'e disahkan ada tumor otak dan dijangka hidup selama beberapa bulan sahaja. Bagaimana agaknya Cahaya menghadapi semua dugaan ini?

Satu yang kita perlu ingat walau seteruk mana pun dugaan yang kita tempuh, Allah takkan biarkan kita bersendirian. Jangan mudah berputus asa dengan dugaan. Banyak panduan yang boleh kita rujuk bila kita rasa buntu. Allah tak turunkan Al-Quran tu dengan sia-sia. Carilah dan galilah apa yang tersembunyi dalam tu. :)

Komen saya: Buku ni banyak mengajar saya erti tabah bila musibah melanda kehidupan kita. Ada input positif, cuma oleh kerana ini karya pertama penulis adalah nampak sedikit kekurangan yang boleh diperbaiki untuk karya-karya yang akan datang, insya Allah. :)

Saturday, April 7, 2012

Dia Segalanya - Sha Ibrahim

Posted by Hajar at 10:14 PM 4 comments

Tajuk: Dia Segalanya
Penulis: Sha Ibrahim
Penerbit: Kaki Novel Enterprise
Harga: RM 37.00
Sabah/ Sarawak: RM 40.00
Halaman: 1,112 mukasurat
ISBN: 9789675067976

Bagi yang dah agak 'cemuih' dengan kisah-kisah cinta 'terlebih gula' saya rasa buku ini adalah salah satu alternatif bagi bahan bacaan anda. Berbanding buku pertama karya penulis ini, saya lebih gemarkan karya keduanya ini sebab kisah yang dipaparkan adalah lebih kepada kisah kekeluargaan. Karya pertama Sha Ibrahim yang bertajuk Biarkan Ia Berlalu tu bukannya tak menarik, cuma saya kurang gemarkan adegan-adegan 'lepas laku' yang dipaparkan dalam tu.

Dia Segalanya ni membawa kita menelusuri kisah kehidupan Suraya yang dibesarkan dalam keluarga Datuk Rashid dan Datin Rafidah bersama-sama dengan dua orang abang kembar, Faizal dan Faizul. Walaupun cuma anak angkat, Suraya dilayan seperti anak sendiri dan yang paling penting Datuk Rashid memang tak suka bila ada orang ungkit kedudukan dan asal usul Suraya dalam keluarganya. Suraya dah di cop sebagai 'anak bongsu kesayangan' keluarga.

Dari awal, memang Faizul tak berapa rapat dengan Suraya berbanding Faizal. Rupanya perasaan yang wujud pada Faizul bukanlah perasaan seorang abang kepada seorang adik, tapi perasaan kasihnya pada Suraya tu lebih daripada tu. Yelah, diorang bukan adik beradik kandung pun. Tapi perasaan tu disimpan jauh di sudut hatinya. Hanya datuk dan kawan rapatnya yang bernama Deraman je yang tau apa perasaannya yang sebenar pada Suraya. Bukan apa, kalau luahkan pun memang sah-sahla kena tentang habis-habisan dek keluarganya. Jadi, jalan paling selamat adalah menjauhkan diri daripada Suraya.

Suraya pun pelik kenapa hubungan dia dengan Faizul tak boleh serapat hubungannya dengan Faizal. Bila ditanya, barulah kebenaran terbongkar. Niat Faizul berterus terang tentang kedudukan Suraya dalam keluarga mereka tu bukan semata-mata nak sakitkan hati Suraya, tapi lebih kepada nak menafikan perasaan sendiri. Sebab, bila Suraya marahkan Faizul, automatik Suraya akan jauhkan diri daripada Faizul kan?

Selepas lima tahun Faizul menyambung pengajian di UK, dia pulang untuk berkhidmat di syarikat keluarganya. Masa ni hubungan Faizul dan Suraya dah agak baik walaupun banyak jugalah dugaan yang dok melintang dalam hubungan baik diorang ni. Faizul pun dah mula memperbaiki cara hidupnya yang liar kepada gaya hidup yang lebih baik atas nasihat dan bimbingan Suraya. Masing-masing pun dah mula menyedari bibit-bibit perasaan yang dah bercambah antara mereka tu.

Malang menimpa bila Suraya disahkan menghidapi leukimia. Dalam keadaan kesihatan yang tak berapa menentu tu, Suraya seboleh mungkin merahsiakan penyakit tu daripada pengetahuan keluarganya. Bila penyakitnya disahkan sudah agak kritikal, dia juga berusaha untuk buat Faizul berputus asa dengan perasaan mereka. Kira dahsyat juga syarat Faizul masa diorang bertelagah tu. Bila Suraya menghilangkan diri barulah terbongkar penyakit yang dihidapi oleh Suraya tu.

Masa ni saya geram dengan Faizul, sebab boleh nak pertahankan ego lagi bila penyakit Suraya dah terbongkar . Haih.

Dah akhir-akhir ni memang sedih, tapi jangan bimbang pengakhirannya tetap 'happy ending'.

Komen saya: Tajuk cerita ni sebenarnya nak gambarkan yang Suraya tu adalah segalanya pada Faizul. Tapi macam tak sesuai je sebab di akhir cerita Suraya dok asyik ingatkan Faizul, jangan letakkan cintanya pada Suraya melebihi cintanya pada Allah. So, dah jadi macam pelik pulak. Hoho. Tapi overall ceritanya tak membosankan. :)

Wednesday, April 4, 2012

Wasilah Cinta Weera - Rose Harissa

Posted by Hajar at 10:10 PM 2 comments


Tajuk: Wasilah Cinta Weera
Penulis: Rose Harissa
Penerbit: PTS Litera Utama Sdn. Bhd.
Harga: RM 20.00
Sabah/ Sarawak: RM 23.00
Halaman: 607 mukasurat
ISBN: 9789833892709

Ini sebuah kisah cinta. Tapi definisi cinta di sini memang dari perspektif yang lebih luas. Bukan sekadar cinta antara lelaki dan wanita, tapi lebih kepada rasa cinta sesama manusia secara umumnya. Memang kalau kita lihat dari sudut pandangan 'biasa' kita akan rasa hubungan antara Ray dan Weera tu memang ada 'sesuatu'. Tapi, jika dilihat dari sudut ukhuwwah dan apa yang dipraktikkan dari zaman Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat baginda, rasa cinta yang dipamerkan antara Ray dan Weera itu bukanlah sesuatu yang menyalahi etika perhubungan antara manusia pun. :)

Bacalah kisah ini dengan mata hati dan anda pasti akan terkesan dengan setiap mesej yang disampaikan dalam naskhah ini.

Jujurnya saya banyak mengalirkan air mata ketika membaca kisah ini. Lebih-lebih lagi bila Ray disahkan menghidapi penyakit neuron motor. Sebak dan insaf bila memikirkan betapa mudahnya DIA menarik balik segala nikmat yang diberikan dengan sekelip mata. Dugaan demi dugaan menimpa dan Ray sangat tabah menerima semua dugaan itu. Subhanallah. Memang benarlah, semakin kita nak mendekatkan diri kepadaNYA, semakin banyak ujian yang bakal dihadapkan kepada kita. Mampu ke kita menghadapi sekiranya diduga sebegitu? Wallahu'alam.

Wasilah Cinta Weera mengisahkan Tajul Aweera (Weera) yang dapat petunjuk untuk berkahwin dengan Sari Ayu (Ayu) sebab Firdaus, tunang Ayu dah berkahwin dengan Jasnita, bekas teman wanita Weera. Yang hampehnya, Firdaus dok canangkan pada semua orang yang Weera merampas tunangnya.

Selepas berkahwin dengan Weera, Ayu dibawa masuk dalam kehidupan Ray dan Weera. Kalau nak kata Ayu tak ada rasa curiga tu memang bohonglah kan? Banyak kali juga Ayu tewas dalam melawan hasutan syaitan bila nampak kemesraan Ray dan Weera. Bertambah lagi curiga bila Firdaus juga sibuk mencucuk jarum, menabur fitnah untuk menghancurkan rumahtangga Ayu dan Weera. Namun berkat kesabaran Weera mendidik Ayu untuk menerima 'bentuk' hubungan baik antara Ray dan Weera dan juga campur tangan ibu bapa Ayu, akhirnya Ayu dapat juga menyesuaikan diri dalam hubungan erat itu. Siap rela nak tolong jagakan Ray masa Ray jatuh sakit :)

Ray ni sebenarnya penyelamat Weera bila Weera teruk kena belasah dengan ayahnya. Lepas tu Raylah yang Weera anggap saudara terdekat dan banyak mendidik Weera menjadi seorang yang berperibadi mulia. Jadi Weera memang sangat hormatkan Ray macam abang dan ayahnya. Hubungan rapat mereka yang bersandarkan ukhuwwah tu selalu disalah tafsir hanya kerana mereka tak berpenampilan ala-ala 'pakcik tabligh'. Itulah pemikiran tipikal masyarakat kan? :)

Dan itulah juga yang jadi modal untuk Firdaus menabur fitnah merata-rata. Nauzubillahiminzalik.

Saya sangat berpuas hati dengan pengakhiran Firdaus. Buat jahat memang balasannya setimpal. :)

Oh ya, sebelum terlupa. Buku ni walaupun tiada adegan romantik 'terlebih gula' tapi banyak adegan 'nakal' antara Weera dan Ayu yang tak sesuai dibaca oleh adik-adik yang masih bersekolah. Jadi, jangan sepah-sepahkan buku ya? ;)


Komen saya: Sebuah buku yang patut dimiliki. Banyak pengajaran dan input positif yang dapat dikutip dalam buku ini. Tahniah kak Rose untuk naskhah ini. Saya pun dah jatuh cinta dengan buku-buku PTS ni. :)

Sunday, April 1, 2012

Dapur Wawa - Ika Madera

Posted by Hajar at 7:57 PM 2 comments

Tajuk: Dapur Wawa
Penulis: Ika Madera
Penerbit: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Harga: RM 18.00
Sabah/ Sarawak: RM 21.00
Halaman: 415 mukasurat
ISBN: 9789675118814

Sebuah novel yang agak 'yummeh' sebab dalam ni macam-macam resipi ada. Dinasihatkan kepada yang mahu membaca, pastikan anda bukan berada dalam keadaan perut kosong. Jangan salahkan penulis bila tiba-tiba anda teringin untuk menjamah semua makanan yang di'hidang'kan dalam buku ni bila anda lapar. =D

Kali ini Ika Madera membawa kita mendalami kehidupan seorang Najwa Syakirah atau lebih dikenali sebagai Wawa. Memang jadi dilema bagi seorang gadis yang dah melangkaui umur lewat 20-an tapi masih belum lagi bertemu jodoh. Lebih-lebih lagi bila semua orang asyik persoalkan bilalah Wawa ni nak menamatkan zaman bujang? Tapi Wawa tetap Wawa, dia tidak pernah peduli sampailah bonda dan Kak Pah (yang diceritakan sebagai pencari jodoh yang hebat) membawa fail 'Encik Abu' kepada Wawa.

Diceritakan bahawa Encik Abu ini seorang bujang trang tang tang dan juga seorang drebar. Drebar apa tak pula dinyatakan di sini. Wawa pun tak pernah bertanya sampailah mereka berkahwin. Haha. Lurus juga Wawa ni. Memang orang kata bila dah jodoh tak ke mana kan? Sekuat mana pun kita menolak, kalau dah tertulis itulah jodoh kita mana mampu kita nak menolaknya? Begitu juga dengan Wawa dan Encik Abu. Selepas beberapa pertemuan, mereka merasakan keserasian bersama dan 3 bulan lepas tu, mereka bernikah.

Masalah utama si Wawa ini adalah, dia seorang yang liat nak masuk dapur. Lebih-lebih lagi bila dalam keluarganya sendiri ada je yang rajin nak melayan selera Wawa, terutamanya bonda dan ibu Chik. Walau jenuh di sindir, Wawa tetap buat tak tahu. Padanya, buat apa nak susah payah nak memasak bila dia boleh minta bonda atau ibu Chik untuk memasak apa yang dia mahu? Lepas berkahwin barulah dia tahu tinggi atau rendahnya langit itu. Haha. Memang bersilatlah Wawa di dapur. Macam-macam resipi yang dipelajarinya dan ramai je yang sanggup jadi tempat merujuk bila diperlukan.

Macam-macam juga cabaran yang terpaksa ditempuhi dek Wawa ni. Paling getir bila dia kehilangan zuriat yang dinantikan selama ini. Dugaan. Namun, berkat sokongan Encik Abu dan seluruh ahli keluarga, Wawa berjaya bangkit semula. Sempat lagi balas dendam memasak sempena Aidiladha. Dapat juga ahli keluarganya merasa kuih serikaya resipi turun temurun nenda.

m/s 402:

"Kalau nenda tengok Wa sekarang, mesti dia sama macam bonda, sama-sama bangga. Wa pandai masak, pandai jaga keluarga dengan elok dan yang paling penting, Wa dapat melawan perasaan lemah dulu." - Bonda

Benarlah, setinggi mana pun pelajaran kita sebagai seorang perempuan, hal-hal dapur ni jangan sesekali dipandang enteng.

Komen saya: Novel santai yang patut dibaca oleh individu yang bakal berkahwin. ;) Sangat menarik juga pada saya sebab ada beberapa nama yang agak 'familiar' pada pembacaan saya turut terselit dalam naskhah ini. Terima kasih Ika Madera untuk kisah penuh dengan resipi ini. :)
 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review