Tuesday, April 30, 2013

Bukan Hanya Ada Kita - Nazurah Aishah

Posted by Hajar at 11:08 PM 5 comments
Tajuk: Bukan Hanya Ada Kita
Penulis: Nazurah Aishah
Penerbit: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Harga: RM21.00
Sabah/ Sarawak: RM 24.00
Halaman: 543 mukasurat
ISBN: 9789670508122

Menyelami isi hati Medina Azahra (Medina) berselang seli dengan lontaran rasa hati Ahmad Zahrin Adil Bakri (Zahrin) membuat kita mengerti kenapa Medina itu perlu hadir dalam hidup Zahrin walaupun Zahrin sudah beristeri. Mereka saling jatuh cinta bukan kerana ayat-ayat manis Zahrin. Tapi kerana Zahrin merasakan Medina adalah kawan yang memahami, yang mampu mengisi kekosongan yang dirasai Zahrin bila Aiza, isteri pertamanya ditinggalkan di Malaysia. Esh, bunyi macam alasan tipikal kan?

Melihat air muka Medina yang kesedihan semasa pertemuan pertama mereka di majlis hari raya bagai menarik-narik Zahrin untuk berkenalan dengan Medina. Walhal kalau diikutkan Zahrin ni bukanlah jenis peramah pun. Mungkin atas dasar rakan senegara, mereka jadi saling melengkapi. Medina selalu jadi tempat Zahrin bercerita dan juga sebaliknya. Bila dah makin rapat, Zahrin cuba meluahkan isi hati sebab dia tak mahu mereka berkawan tanpa ikatan dan terjerumus ke dalam kancah dosa. Memang pada mulanya Medina menolak, tapi bila hati dan perasaan tak mampu menipu diri, mereka akhirnya bernikah di Oman.

Selama tiga tahun mereka mampu simpan rahsia perkahwinan mereka ni sehinggalah mereka pulang ke Malaysia. Perkahwinan jarak jauh antara Zahrin dan Aiza, isteri pertamanya memberi kelebihan untuk mereka terus 'menutup' hubungan mereka daripada keluarga dan sahabat handai. Selain mahu menyembunyikan status mereka daripada pengetahuan Aiza, Medina juga sebenarnya malu kerana selama ni dia sangat menentang poligami. Lebih-lebih lagi dia pernah memusuhi arwah bapanya dan juga ibu tirinya gara-gara bapanya berkahwin dengan ibu tirinya.

Yang bagusnya Medina ni bukan jenis kaduk naik junjung. Dia sedar dan tahu di mana kedudukannya dalam hidup Zahrin. Bukan senang nak menahan rasa cemburu bila waktu Zahrin kembali ke pangkuan keluarganya. Tapi Medina sentiasa berfikiran positif. Sentiasa pandai pujuk hati dan cari alternatif untuk mengisi masanya yang terluang setiap kali Zahrin pulang ke rumah Aiza. Dia tak pernah meminta-minta walaupun sebenarnya dia berhak untuk menuntut hak yang sama dengan Aiza. Beruntung sungguh suami dia ni. Kekadang rasa macam nak luku je Zahrin tu. Ish!  

Bila kebenaran terbongkar, memang haruslah perit untuk Aiza terima. Ditipu bertahun-tahun oleh orang yang sangat dipercayainya. Siapa yang tak marah. kan? Tapi sebagai suami, Zahrinlah yang kena pandai meneutralkan kedua-dua pihak. Nasiblah Zahrin ni bukan spesis Jamil, isteri-isteri berperang, dia dok pasang lagi satu. Haha. Saya suka bila penulis gambarkan keluarga Medina yang sangat menyokong antara satu sama lain walaupun Medina boleh dikatakan telah memalukan keluarga mereka bila berkahwin dengan Zahrin tanpa restu mereka. Seharusnya itulah yang berlaku. Bukan menyisihkan atau pun cuba mengapi-apikan hubungan suami isteri tu sampai si suami terpaksa memilih salah seorang isteri. Hmm, realitinya mungkin ada. Cuma mungkin agak payah nak jumpa kot?

Komen saya : Saya kira ini adalah percubaan 'berani mati' penulis untuk menulis cerita dengan tema sebegini. Hehe. Dan saya rasa tujuan penulis bukanlah untuk menggalakkan poligami mahu pun mengajar suami atau isteri kedua jadi selicik Medina dan Zahran menghapuskan bukti untuk 'cover line'. Cuma mungkin untuk mendidik masyarakat agar jangan mudah meletakkan perspektif negatif pada individu yang bergelar isteri kedua ni. Bukan semua isteri kedua ni 'perempuan miang' atau 'perempuan tak tahu malu' mahu pun perampas. Aish. Saya ni dah macam jadi penyokong poligami pulak. Haha. Salute dengan mereka yang berpoligami tapi masih mampu hidup secara harmoni. Saya percaya perjalanannya tak semudah itu. Yang penting sikap tolak ansur dan bertoleransi tu kena berada di tahap tertinggi. Kalau semua perempuan berfikir macam Medina dan Aiza ni memang saya rasa ramai lelaki yang nak berpoligami kot? :P Pada awalnya saya sendiri takut nak baca buku ni sebab takut emosional. Rupanya tidak. Tahniah buat penulis atas garapan yang penuh berani ini. :) Pesanan saya, sila baca dengan hati yang lapang, bukan dengan hati yang penuh emosi ya? :)

Tuesday, April 23, 2013

Mama Mia Shaza - Emy Roberto

Posted by Hajar at 11:01 PM 5 comments


Tajuk: Mama Mia Shaza
Penulis: Emy Roberto
Penerbit: Lovenovel Publication
Harga: RM22.00
Sabah/ Sarawak: RM 25.00
Halaman:  512 mukasurat
ISBN: 9789671174111

"I'll give you one chance, Maya. Choose only one. Me or the baby?" - Syazwan Imad

Mula-mula baca buku ni memang geram tahap giga pada Syazwan. He was a total jerk. Dahla berkahwin dengan Maya hanya kerana nak memenuhi rasa egonya. Lepas tu boleh bagi kata dua macam tu pada Maya bila Maya mengandung. Alasannya, dia tak bersedia nak jadi bapa. Bila Maya tekad nak teruskan kandungannya, Syazwan memilih untuk tinggalkan Maya. Memang selfish. Urgh!

Pertemuan mereka selepas 3 tahun, memang buat Maya betul-betul kecewa. Iyalah, ingatkan selepas bertahun tak jumpa, Syazwan dah berubah. Tapi rupanya masih tetap berperangai yang sama. Tetap 'sibuk' dengan perempuan keliling pinggang. Haish. 

Namun, pertemuan Syazwan dengan si cilik Mia Shaza (Mia) mengubah segalanya. Dia sedar kekhilafan yang pernah dilakukannya bila Maya mula menafikan haknya sebagai bapa. Itulah, dulu bukan main menolak. Sekarang baru nak menyesal bila anak sendiri pun tak kenal dia sebagai bapa. Syazwan mula bertekad untuk berubah demi keluarga kecilnya.

Bila Syazwan dah mula berubah, tinggalkan kehidupan zaman jahiliahnya, Maya tetap menolak Syazwan. Dia tak percaya Syazwan boleh berubah bila Tasya (yang digelar langsuir oleh Maya) masih tetap mahu menempel di sisi Syazwan. Haish. Masa ni saya dah rasa nak cepuk Maya sebab dia tak sedar status dia sebagai isteri Syazwan. Kalau iya pun marah, tak perlu nak protes sampai tampar suami sendiri kot. Tu dah melampau sangat namanya.

Hati Syazwan sudah terguris luka bila Maya tetap memilih Syazwi Ilman, majikan Maya yang tiba-tiba muncul di antara mereka. Tegakah Syazwan melepaskan Maya dan Mia?

Rupanya Syazwan ni ada sejarah pahit yang membuatkan dia trauma. Patut pun dia tak mahu ada anak di awal perkahwinan dengan Maya. Adeh... 

Komen saya: Penyelamat stress saya bila baca kisah mereka ini adalah si cilik Mia. Keletah dan kerenahnya yang selamba dan comel tu memang mampu buat kita tertawa bila dibayangkan. Haha. Ada tak anak patung bergerak yang macam ni? ;) Walaupun penulis ni bukan muslim, tapi garapan dan gambaran masa mereka ke tanah suci tu buat saya kagum. Tahniah buat penulis atas research untuk garapan tersebut dan tahniah juga atas kelahiran buku ini. Alhamdulillah. It's worth waiting. Sila jangan putus asa untuk menulis ya? Hihi. Terima kasih juga untuk buku ini. Moga makin murah rezeki lepas ini. Amin! :)
  

Wednesday, April 17, 2013

Bukan Kerana Aku Tak Cinta - E-man Sufi

Posted by Hajar at 10:56 PM 12 comments

Tajuk: Bukan Kerana Aku Tak Cinta
Penulis: E-man Sufi
Penerbit: Karyaseni Enterprise
Harga: RM24.00
Sabah/ Sarawak: RM 27.00
Halaman: 625 mukasurat
ISBN: 9789670246451

"Bila aku dah tak ada...Bila sampainya hari aku dah tak boleh temankan kau di dunia ni... Dan diari ni akan gantikan diri aku, setiap apa perasaan aku kat kau, aku dah tulis di dalamnya. Supaya setiap perkataan yang kau baca akan sentiasa ingatkan kau kepada aku, Mastura..." - Ahmad Ziyad Iskandar Foo.

Ehem, rasa suspen tak? Ehehe..

Kalau dalam Suami Yang Kubenci kita dihidangkan dengan kisah Uwais Ukasyah (Uwais) dan Hannah Maryam (Hannah), Bukan Kerana Aku Tak Cinta (BKATC) pula membawa kita mengikuti perjalanan kisah cinta adik Hannah, Mastura yang tergila-gilakan si Jebat. Haha. Nampak macam tak senonoh je bunyinya. Tapi memang hakikatnya begitu. Cinta pandang pertamanya pada Jebat menyebabkan Mastura tekad untuk memikat Jebat. Disuruh terjun kolam ikan pun sanggup je diredah dek Mastura ni demi kerana cintanya pada Jebat. Fuh, berani habis!

Jebat ni berdarah campuran Cina dan Melayu. Selepas pemergian kedua orang tuanya akibat dibunuh oleh gengster yang bermusuh dengan Uncle Kwan (bapa saudaranya), Jebat dibesarkan oleh adik perempuan bapanya. Bermulalah perjalanan hitam hidup seorang Jebat. Atas sebab itu dia tak mahu Mastura menaruh harapan padanya walaupun dia sudah mula mengubah kehidupannya ke arah yang lebih baik.

Tapi Mastura tetap Mastura. Kedegilannya tak ada siapa dapat menghalang. Selepas dapat arahan daripada Tan Sri Idris (tok ayah) yang dia akan ditunangkan dengan Aryan (pegawai polis kerek yang juga sepupunya), Mastura terus melancarkan mogok lapar. Sampai warded sebab serangan gastrik. Jebat juga yang terpaksa memujuk Mastura untuk menghentikan rencana mogok laparnya itu. Haish.

Melihatkan kesungguhan Mastura membuatkan Hannah tak sampai hati untuk menghampakan harapan adiknya itu. Sebab sayangkan adik, dipujuk juga tok ayah untuk membenarkan Mastura berkahwin dengan pilihan hatinya. Yelah, walaupun dulu Hannah berkahwin dengan Uwais atas pilihan tok ayah, tapi untuk si adik dia mahu Mastura berkahwin dengan pilihannya sendiri. Sesi pujuk-memujuk tok ayah akhirnya berjaya juga dengan bantuan Uwais. Phew. Akhirnya dapat juga Mastura berkahwin dengan Jebat si pujaan  hati. :)

Kehadiran sepupu-sepupu Jebat, Tiger dan Airen, di majlis perkahwinannya mengudang rasa tak enak dalam diri Jebat. Ugutan demi ugutan dari Airen, sepupu yang pernah rapat dengannya meresahkan Jebat. Dilema melanda, sama ada nak berterus terang atau biar Mastura tahu kisah silamnnya dari orang lain?

Komen saya: Rasa nak hempuk je Mastura tu bila dia dok tunjuk ego dengan suami sendiri. Tak ingat agaknya saat dia sanggup terjun kolam ikan dan berlapar demi nak tawan hati Jebat tu dulu? Huh.. Tapi mujurlah kegeraman dan kemarahan saya tu berjaya dineutralkan oleh watak-watak lain, terutamanya Mak Cik Sari the legend. Haha. Penulis pandai imbangkan jalan cerita yang agak stress ni dengan dialog-dialog yang kadangkala buat saya tergelak sendiri. Hmm, betullah kan? Biasanya orang yang dah jumpa jalan pulang ni banyak dugaan dan cabarannya. Terutamanya bila masih ada prasangka buruk di kalangan orang yang pernah jumpa sisi gelap individu yang nak berubah tu. Macam mana sukarnya mana kita nak berubah, lebih sukar lagi nak beristiqamah dan mengekalkan perubahan tu. Cuma kalau boleh, jangan mudah prejudis. Mana tahu orang yang kita nampak jahat tu tak sejahat yang kita sangka? :)

Kadang-kadang kita tak tahu. Mungkin orang yang berbuat jahat pada kita pun pernah berbuat baik kepada kita. Kalau tak sekarang, akan datang....Atau mungkin suatu masa dulu tapi kita tak tahu. - Uwais Ukasyah  

Oh yang penting saya juga dah tau apa maksud katarsis. Yay! Thanks Cikgu E-man, berjaya buat saya rajin buka web Pusat Rujukan Persuratan Melayu (DBP). Hehe. Terima kasih dan tahniah ye cikgu atas kelahiran buku baru ni. Moga perkongsian tu tak terhenti setakat ini saja. :) Tak lupa juga, terima kasih buat Nina yang belanja saya buku ni. Moga makin murah rezeki lepas ni. Amin!

Monday, April 8, 2013

Cik Blur Dan Encik Ikhlas - Airisz

Posted by Hajar at 10:49 PM 3 comments

Tajuk: Cik Blur Dan Encik Ikhlas
Penulis: Airisz
Penerbit: Karyaseni Enterprise
Harga: RM19.00
Sabah/ Sarawak: RM 22.00
Halaman: 481 mukasurat
ISBN: 9789670246383

Kasih Khalisha (Kasih) bekerja di bawah jabatan yang diketuai oleh Encik Ikhlas. Tak tahulah kenapa, Encik Ikhlas ni memang jenis ketua yang garang dan  'berangin'. Silap sedikit, mulalah melenting dan mangsa kemarahannya sudah tentulah Kasih. Tak tahan dengan kerenah bos yang garang tak bertempat ni buat Kasih tekad meletak jawatan dengan notis 24 jam. Yang peliknya, bos si Kasih ni gelabah sungguh bila Kasih kata dia dah berhenti kerja. Rupanya marah Encik Ikhlas ni hanya kerana nak tarik perhatian Kasih. Haish.

Walaupun dipujuk dengan pelbagai janji dan umpan, Kasih tak terpujuk pun. Tawaran kerja sementara menggantikan Mak Som (ibu saudara rakan serumah Kasih) menjadi pembantu rumah tak dilepaskan oleh Kasih. Tak sangka, kecil sungguh dunia. Makin nak mengelak, makin hampir pula Kasih pada Encik Ikhlas. Manakan tidaknya, rumah tempat Kasih bekerja tu rupanya rumah Encik Ikhlas. Hehe. Makin terbuka luaslah peluang untuk Encik Ikhlas kan?

Makin lama, Kasih mula menyenangi kehadiran Encik Ikhlas. Bila  dah menyedari perasaan yang mula berputik, Kasih diberitakan yang Ikhlas bakal bertunang dengan pilihan keluarganya. Secara kebetulan, keluarga Kasih juga sudah menerima lamaran daripada kenalan ibunya. Memang comel diorang ni. Kasih memang tak mahu ambil tahu siapa yang bakal jadi tunangannya. Encik Ikhlas pula bila dah tahu siapa bakal tunangnya memang dah gembira sangatlah. Cuma dia mahu tahu apa perasaan Kasih padanya.

Bila tahu hakikat sebenar masih sudi lagi ke Kasih nak jadi pendamping Encik Ikhlas yang garang ni? Haha.

Komen saya: Kisah ni pun agak straight forward, tak banyak konflik serta disampaikan dengan gaya santai dan selamba. Suka karakter Kasih yang tegas dan selamba ni. Putus cinta pun boleh selamba belasah orang. Haha. Walaupun saya rasa saya lebih sukakan karya pertama penulis, Cik Bunga dan Encik Sombong, karya keduanya ini tetap menghiburkan. Tahniah buat penulis untuk buah tangan kedua ini. Lepas ni agaknya Cik dan Encik apa pula yang bakal menyusul ya? ;)

Kafe Damia - Moon Leeya Zafrina

Posted by Hajar at 10:12 PM 0 comments
Tajuk: Kafe Damia
Penulis: Moon Leeya Zafrina
Penerbit: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Harga: RM20.00
Sabah/ Sarawak: RM 23.00
Halaman: 452 mukasurat
ISBN: 9789670508061

Pertukaran ke sekolah baharu membawa seribu rasa buat Liyana Damia (Liya). Normallah kan? Perubahan akan membuatkan kita mengambil masa untuk sesuaikan diri.  Liya cuma mampu mengharapkan moga semuanya dipermudahkan buat dirinya. Namun, belum pun sehari di sekolah baharu, Liya sudah dikejutkan dengan 10 syarat yang perlu dipatuhi setelah 'berjiran' dengan Zafran Adha (Zafran). Pening Liya memikirkannya.

Mereka berdua ni memang jadi kawan bertekak sajalah. Pelik. Zafran yang terkenal dengan gelaran 'heartless' tiba- tiba jadi suka mengusik perempuan. Siapa lagi yang 'bertuah' selain Liya? Haha. Sungguh pun begitu, hubungan mereka tetap ada turun naiknya sehingga mereka tamat menduduki peperiksaan SPM.

Pemergian Zafran secara tiba-tiba memutuskan hubungannya dengan kawan-kawan sekelasnya termasuk Liya.

Selepas 8 tahun, Liya sudah berjaya dengan perniagaan Kafe Damianya. Manakala Zafran pula sudah mula pasti dengan perasaannya. Pertemuan kembali antara keduanya mula mencambahkan kembali perasaan yang tersimpan sekian lama. Baru Zafran berura-ura mahu memulakan langkah, dah ada yang nak potong jalan. Haish, susahnya nak buat pilihan... :P


Komen saya : Satu perkataan. Comel! Kisahnya pun mudah. Tak ada konflik. Boleh baca dengan tenang. Hehe. Tahniah Moon untuk percubaan pertama ni. Cuma ada satu kekeliruan yang saya terjumpa di halaman 342. Sepatutnya anak buah Liya tu namanya Alya kan, bukannya Ridhwan. Harapnya untuk cetakan seterusnya bolehlah diperbetulkan. :)

Friday, April 5, 2013

Kapal Terbang Kertas - Hasliza Ismail

Posted by Hajar at 10:50 PM 2 comments

Tajuk: Kapal Terbang Kertas
Penulis: Hasliza Ismail
Penerbit: Kaki Novel Enterprise
Harga: RM16.00
Sabah/ Sarawak: RM 19.00
Halaman:  349 mukasurat
ISBN: 9789675067310


Suriani dibesarkan oleh ibu saudaranya (Mak Som) setelah pemergian kedua ibu bapanya. Hidup dalam kongkongan Mak Som membuatkan Suriani terpaksa melupakan cita-citanya untuk menyertai TUDM bersama-sama Mahadi, walaupun keputusan peperiksaannya cemerlang. Dengan berat hati, Mahadi terpaksa juga meneruskan cita-cita mereka berdua walaupun tanpa Suriani. Namun Mahadi berjanji yang dia akan kembali suatu hari nanti untuk membawa Suriani keluar dari kongkongan Mak Som.

Rupanya Mak Som sudah ada rancangan sendiri. Disebabkan angan-angannya untuk hidup mewah, Mak Som berhajat untuk menjodohkan Suriani dengan Salleh, seorang lelaki yang agak berharta dan agak berumur untuk Suriani. Untuk menolak memang agak mustahil sebab Suriani terikat dengan budi baik Mak Som yang sudi untuk membesarkannya.

Bila mengetahui niat sebenar Mak Som, jiwa muda Suriani mula memberontak. Suriani mengambil keputusan untuk melarikan diri dengan niat untuk memperbaiki kehidupan mereka sekeluarga. Dia berjanji akan kembali semula ke kampung untuk membalas jasa-jasa Mak Som.

Pertemuan Suriani dengan Ian Emran di kala Suriani hilang arah waktu mula-mula sampai ke Kuala Lumpur banyak membawa perubahan dalam hidup Suriani.  Dari seorang gadis naif yang bekerja sebagai pelayan restoran akhirnya menjadi pembantu setiausaha di pejabat Ian Emran. Hubungan baik mereka juga turut jadi buah mulut kakitangan pejabat Ian Emran yang akhirnya turut membuat Ian Emran mengakui perasaanya pada Suriani. Fuh.

Jadi, siapa pilihan Suriani? Masihkan Mahadi yang ditunggu oleh Suriani atau Ian Emran si penyelamat jadi pilihan? Saya suka cara penulis menyelesaikan konflik cerita ini. Ringkas dan tak meleret-leret. :)


Komen saya: Kisah ni cuma kisah yang biasa dengan konflik yang ringan. Memang bukan pilihan buat pembaca yang gemarkan konflik tahap ekstrim. Hehe. Cuma saya agak terganggu dengan fakta yang mengelirukan. Jadi buat penulis sekalian, sekalipun anda menulis kisah fiksyen, sila pastikan fakta yang ditulis itu betul. Logik dan realistik itu harus seiring dengan fiksyen. yang ditulis. Bukan hentam keromo saja. :) Anyway, tahniah buat penulis. Saya dengar khabar yang naskhah ini juga bakal divisualkan selepas Mencari Jalan Ke Syurga. All the best untuk Kak Hasliza. :)
 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review