Tuesday, October 29, 2013

Di Penghujung Cintaku Adelia - Wan Rohayu

Posted by Hajar at 10:11 PM 0 comments



Tajuk: Di Penghujung Cintaku Adelia
Penulis: Wan Rohayu
Penerbit: Lovenovel Enterprise
Harga: RM25.00
Sabah/ Sarawak: RM 28.00
Halaman:  648 mukasurat
ISBN: 9789671188262

Kerana terlalu inginkan Adelia jadi anak perempuannya, Maria memerangkap Adelia dan Nik Pasha dalam ikatan perkahwinan. Kesilapan dalam satu malam mengikat mereka walaupun sebenarnya mereka tak pernah pun terlanjur. Perkahwinan tanpa rela ini lebih menambahkan darjah kebencian Nik Pasha pada Adelia. Sejurus selepas keputusan peperiksaan SPM diperolehi, Nik Pasha bertekad untuk menyambung pengajiannya ke luar negara demi mengelak daripada tanggungjawabnya. Heh, tak boleh pakai punya lelaki.

Tamat pengajiannya, Nik Pasha kembali ke tanah air berbekal ijazah kedoktoran dan dengan azam untuk berpisah dengan Adelia. Padanya Adelia yang dikenalinya lebih 6 tahun dulu tidak layak bergandingan dengannya. Iyalah, 6 tahun dulu Adelia memang comot dan chubby, belajar pun taklah setinggi mana. Manalah sesuai nak berganding dengan Nik Pasha tu kan? Tambahan pula, Nik Pasha sudah punya Darwina yang layak digandingkan dengannya. Heh. Namun, pertemuannya dengan Adelia yang berimej baru mula menggoyahkan perasaannya. Ha, baru tau langit tu tinggi ke rendah kan? 

Pertemuan demi pertemuan antara Nik Pasha dan Adelia mula menumbuhkan rasa dalam hati Nik Pasha. Lebih-lebih lagi bila Adelia yang makin cun melecun tu sentiasa dikelilingi oleh lelaki-lelaki hebat yang berhajat untuk mendekati Adelia. Mulalah Nik Pasha nak mengongkong Adelia. Hish. Tau pulak dia rasa tercabar. Bila dia sibuk berkepit dengan Darwina tu tak pulak dia fikir perasaan Adelia? Haih, emo. Haha.

Turun-naik hubungan mereka ni memang buat kita rasa sakit hati. Lebih-lebih lagi bila Nik Pasha seolah-olah tak mampu nak tinggalkan Darwina. Rupanya ada cerita disebalik kerapuhan personaliti dalaman Darwina tu. Haih. Lalu, siapa yang harus berkorban dalam perhubungan mereka ini?

Komen saya: Saya stres dengan Nik Pasha. Tak puas hati juga dengan penamat yang terlalu pantas. Patutnya bagi pengajaran teruk sikit pada Nik Pasha tu. Haha. :P Walaupun kisah tipikal kahwin paksa, namun penulis berjaya buat kita tak rasa bertumpu dengan masalah rumahtangga mereka berdua ni. Banyak terselit perkara lain yang mungkin baru untuk kebanyakan pembaca. Cuma satu teguran saya, kalau boleh kurangkanlah penggunaan bahasa pasar dan bahasa rojak dalam penulisan. Tak salah menulis dengan gaya santai tapi tak perlu keterlaluan. Just my two cents . Tahniah atas kelahiran karya bercetak pertama penulis dan selamat maju jaya dalam dunia penulisan. :)

Sunday, October 27, 2013

Titian Cinta - Ridhya Iman

Posted by Hajar at 11:21 PM 2 comments

Tajuk: Titian Cinta
Penulis: Ridhya Iman
Penerbit: Idea Kreatif Publication
Harga: RM30.00
Sabah/ Sarawak: RM 33.00
Halaman:  841 mukasurat
ISBN: 9789671192542

Kepulangan Rahadatul 'Aisy ('Aisy) setelah empat tahun berkelana di bumi asing bukan setakat membawa segulung ijazah kejayaannya tapi turut pulang dengan nekad untuk menuntut janji yang pernah dilafazkan oleh Umayr Harris (Harris), suami yang banyak melukakan hati 'Aisy.

Angkara fitnah yang ditabur oleh Sofia (bekas tunangan Harris dan juga kawan baik 'Aisy), Harris menghalau 'Aisy umpama kucing kurap. Kesian 'Aisy. Anak dalam kandungannya tak berjaya diselamatkan bila dia terlibat dalam kemalangan. Bertambah malang lagi bila kemalangan itu turut meragut sebahagian kesempurnaannya sebagai seorang wanita. Kekecewaannya membawa 'Aisy merantau jauh ke bumi London.

Sebenarnya kebenaran telah lama terbongkar. Cuma Harris tak berani untuk memunculkan diri di depan 'Aisy bila dinasihatkan oleh Sakeena, sahabat baik 'Aisy. Katanya 'Aisy perlu diberikan ruang setelah lama menderita dan terluka dengan perbuatan Harris.

Kepulangan 'Aisy ke tanah air rupanya telah diketahui Harris. Walau segigih mana pun 'Aisy menolak, Harris sentiasa ada jalan untuk mendekati isterinya. Berkat kesungguhan Harris akhirnya hati 'Aisy yang keras berjaya dilembutkan.  Saya suka bila penulis tak memanjangkan scene tarik tali 'Aisy dan Harris. Tak payah nak cerita panjang bila 'Aisy sendiri sedar di mana kedudukan dia sebagai isteri.    

Namun, kebahagiaan mereka masih banyak liku dan ranjau yang perlu ditempuhi. Kekurangan 'Aisy dijadikan alasan oleh Puan Sri Nora (ibu mertua 'Aisy) untuk menjodohkan Sofia dan Harris. Haish. Nasiblah Harris tu bukannya bodoh nak mengikut telunjuk ibu kesayangannya walaupun Sofia nampaknya belum berputus asa untuk menggoda Harris. Tak cukup dengan itu, Puan Sri Nora mula membuka aib yang disembunyikan 'Aisy daripada pengetahuan keluarganya sehingga menyebabkan kematian ayah 'Aisy. Haila, banyak sungguh halangan untuk mereka mengecap bahagia.

Siapakah sebenarnya dalang di sebalik fitnah yang menimpa 'Aisy? Berjayakah mereka memutuskan titian cinta Harris dan 'Aisy?
 
Komen saya: Satu yang saya suka tentang naskhah ini adalah gaya bahasanya yang tersusun walaupun konfliknya bertimpa-timpa. Susun atur jalan cerita juga digarap dengan baik terutamanya untuk babak flashback. Saya rasa pengikut kisah Harris dan 'Aisy di blog dulu pasti bakal terkejut dengan pengakhir kisah mereka. Ya, tiada yang mustahil dengan keizinanNYA selagi kita tak lupa berdoa dan berusaha. :) Tahniah buat Ridhya Iman atas kelahiran naskhah bercetak sulung ini dan juga atas kejayaan menamatkan pengajian peringkat PHDnya. Phew. Moga dikurniakan lebih banyak ilham untuk kisah-kisah seterusnya. :)

Jurutera Hati Saya - Normaslina Masri

Posted by Hajar at 9:08 PM 0 comments
Tajuk: Jurutera Hati Saya
Penulis: Normaslina Masri
Penerbit: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Harga: RM 22.00
Sabah/ Sarawak: RM 25.00
Halaman:  547 mukasurat
ISBN: 9789670508382

Melissa terlalu mengimpikan seorang jurutera sebagai suami. Tapi tak dinyatakan kenapa. (Atau saya yang terlepas pandang?) Kebetulan, Melissa bekerja sebagai pembantu peribadi  (PA) di firma milik keluarga Irfan Suhaili (Irfan), musuh tradisinya semenjak zaman persekolahan. Tragik sungguh kisah diorang ni. Selepas surat cinta Melissa dibacakan di perhimpunan sekolah, Melissa bertukar sekolah tanpa sempat Irfan memohon maaf. Bila bertemu kembali memang macam anjing dan kucing mereka berdua ni. Irfan memang kuat menyakat dan Melissa pula memang suka melawan. Elok sangatlah tu.. Ironinya, Cikgu Halimah (ibu Irfan) sangat berkenan dengan Melissa sampai sanggup merancang macam-macam untuk menyatukan mereka berdua.  Irfan pun sebenarnya dalam diam dah berkenan dengan Melissa cuma bila memikirkan Melissa yang kerap bertingkah dengannya, Irfan cuma mampu menyimpan rasa hatinya.

Taufik Daniyal (Taufik) mulanya dikenali Melissa kerana Taufik itu adalah sahabat Irfan. Mereka jadi rapat bila selalu bertemu di fitness centre tempat Melissa selalu bersenam. Hubungan rapat mereka kemudiannya membibitkan putik rasa di hati masing-masing. Kebetulan pula Taufik adalah seorang jurutera. Tercapai sudah hasrat Melissa. Cuma Melissa tak menyedari yang Taufik sebenarnya menyimpan rahsia besar daripada Melissa.

Tanpa pengetahuan Melissa, Taufik ni sebenarnya pewaris kepada perusahaan perkapalan terbesar di Malaysia. Ibu bapa Taufik memang tak ada masalah untuk menerima Melissa sebagai menantu. Cuma nenek Taufik agak keberatan untuk menerima Melissa atas sebab-sebab sejarah pahit keluarga mereka yang melibatkan seorang PA / setiausaha. Hmm, kesian Melissa. Kerana tak mahu terima Melissa sebagai cucu menantu, nenek telah melamar seorang doktor untuk ditunangkan dengan Taufik. Diktator sungguh!

Sudahnya, ke manakah hubungan mereka berdua ini? Adakah Irfan yang menjadi pilihan Melissa atau masihkah Taufik bertakhta di hatinya? Dan yang paling penting, dapatkah Melissa bersuamikan seorang jurutera?

Komen saya: Saya sedih bila Melissa tak sudi berjuang untuk bersama-sama Taufik walaupun niat dia baik. Mungkin penulis ada sebab tersendiri buat penamat sebegitu. Sobs. Agaknya kalau twist ending mesti kisah mereka jadi drama dan meleret-leret. :P Jujurnya saya suka naskhah ni sebab ia berjaya buat saya tergelak-gelak dengan gelagat Melissa dan Irfan yang kerap bertegang urat macam anjing dan kucing, Mimi yang selalu jadi pendamai bila keduanya bertegang urat dan juga Taufik si metroseksual. Hihi. Juga berjaya buat saya hanyut dalam kesedihan Melissa dan Taufik. Cuma bagi saya penamatnya nampak agak tergesa-gesa. Apa pun, saya tetap enjoy membaca hingga ke akhirnya. Tahniah buat penulis atas kelahiran buah tangan terbarunya. Semoga terus maju jaya dan terus berkarya. :)

Pujuk Hati Dia - Sarnia Yahya

Posted by Hajar at 12:12 AM 2 comments
Tajuk: Pujuk Hati Dia
Penulis: Sarnia Yahya
Penerbit: Idea Kreatif Publication
Harga: RM23.90
Sabah/ Sarawak: RM 26.90
Halaman:  622 mukasurat
ISBN: 9789671192535

Kekecewaan Ain Najiha (Ain) dalam hubungan cintanya dengan Fendi membuatkan Ain membekukan hatinya. Kata-kata kesat Datin Fariza (ibu Fendi)masih tersemat kukuh dalam hatinya sekaligus membuatnya sentiasa prejudis pada golongan kelas atasan.

Perkenalan Ain dan Tengku Ritzlan bermula apabila Tengku Ritzlan mencari seorang tutor untuk mengajar bahasa Melayu kepada Tengku Elyna, anaknya. Awal-awal lagi Tengku Ritzlan dah  menunjuk lagak di depan Ain. Sangkanya perempuan bertudung seperti Ain tak berpelajaran tinggi. Jadi, macam mana nak mengajar anaknya yang masih kekok berbahasa Melayu itu?

Itulah, orang kata tak kenal maka tak cinta. Belum kenal jangan sesuka hati menilai. Heh. Orang yang dipandang rendah itulah yang banyak mendidik Tengku Elyna. Tengku Ritzlan pun tak sangka yang Ain sanggup mengajar Tengku Elyna tanpa sebarang bayaran sampai Elyna sudah boleh berbahasa Melayu dan mula bersolat. Bila tersedar yang dia sudah lama meninggalkan agama, Tengku Ritzlan mula belajar solat dan mendekatkan dirinya dengan Allah.

Sedar yang Ain banyak membawa impak positif dalam keluarganya, Tengku Ritzlan cuba mendekati Ain. Namun, sikap pesimis Ain  menyukarkan Tengku Ritzlan mendekati Ain. Berjayakan hati Ain dipujuk?

Dalam banyak-banyak watak dalam kisah ni saya jatuh kasihan dengan Fendi. Menjadi anak tunggal harapan keluarga adakala memang membebankan. Darjat dan kuasa membataskan segala. Terpaksa pula mengikut telunjuk keluarga dalam hal jodoh tetapi akhirnya tetap ditinggalkan isteri apabila diri ditimpa musibah. Haish, kesian. Kak Sarnia, boleh sambung tak kisah Fendi ni? Huhu..

Komen saya:  Banyak kisah di sebalik kisah dalam kisah ini. Haha. Ayat pun dah lintang pukang ni. Seperti biasa, penulis tak pernah lupa menyisipkan unsur kekeluargaan dalam setiap karyanya. Tak sangka rupanya perkenalan Ain dengan Tengku Ritzlan menemukan semula Ain dengan ayah kandungnya. Trauma masa kecil membuat Ain 'lupa' yang dia masih punya ayah. Suka dengan semangat dan ketabahan watak Ain ni. Dan sebagai penulis senior, saya tahu penulis bijak untuk menyusun kata agar tak nampak terlalu 'manis bergula' untuk dibaca. Tahniah Kak Sarnia untuk garapan terbaru ini. Lepas ni giliran watak yang mana pula kan? :)

Thursday, October 17, 2013

Sungguh, Aku Jatuh Hati - Zarra Zuyyin

Posted by Hajar at 10:56 PM 6 comments
Tajuk: Sungguh, Aku Jatuh Hati
Penulis: Zarra Zuyyin
Penerbit: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Harga: RM 26.00
Sabah/ Sarawak: RM 29.00
Halaman:  749 mukasurat
ISBN: 9789670508399

Hubungan Nuradelia Hanani (Nani) dengan bosnya, Izz Harriz (Izz) bukanlah dalam keadaan baik. Nani selalu menjadi mangsa buli Izz. Izz yang sinis, Izz yang kepala angin dan segala aura negatiflah pendek katanya. Pantang nampak silap Nani, memang berasaplah Nani menelan kata-kata sinisnya. Tapi dalam sinisnya itu Izz sentiasa muncul setiap kali Nani dilanda masalah. Hmm, macam superhero.


Kemunculan Hafiz Nubhan (Yeop Apez), cinta pertama Nani menghuru-harakan hidupnya.Yeop Apez ni gaya macam orang gila talak dah. Obses teramat sampai sanggup memfitnah semata-mata kerana nak memperisterikan Nani. Dia tak kisah potong jalan orang lain pun, janji hasrat dia tercapai. Siap guna jalan pintas lagi. Hish. Tak pepasal kena paksa bertunang dengan Yeop Apez pula walaupun hakikatnya Yeop Apez ni bukanlah duda seperti yang sibuk dicanangnya. Heh.

Selepas kecewa kerana Yeop Apez berkahwin di luar negara, Nani tak pernah berhubungan rapat dengan mana-mana lelaki kerana masih trauma dengan kekecewaan lalu. Namun, perkenalannya dengan Doktor Naufal Ikram (Am), jiran depan rumahnya mula mengubah persepsinya pada lelaki. Am memang pandai ambil hati sampai kebekuan hati Nani mula mencair sedikit demi sedikit. Paling menariknya, mak Am pun dah berkenan sangat dengan Nani. Tapi, fitnah yang ditabur Yeop Apez mula merenggangkan hubungan mereka. Bila ditanya kenapa menjauh, jawapan yang diberi oleh Am sangatlah menyakitkan hati. Benarlah, kerana mulut badan binasa. Selepas kebenaran terbongkar, barulah terhegeh-hegeh nak kembali pada Nani. Apa, ingat Nani tu tak ada perasaan ke apa?

Antara ketiganya, siapakah yang bertuah menjadi pilihan Nani? Tuan doktor pilihan ibu Nani ataupun tuan insinyur yang sentiasa sinis itu?

Yang pastinya pilihan Nani ni sangatlah gentleman, setia dan penyabar. *cair*. Hahah. Sanggup tunggu bertahun-tahun tanpa pengetahuan Nani sehinggalah Nani nyatakan persetujuan untuk menghalalkan perhubungan mereka. Phew. :)


Komen saya: Sungguh, buku ni banyak beri panduan untuk isteri dan bakal isteri dalam melayari bahtera perkahwinan. Lebih-lebih lagi untuk yang baru berkahwin. Cuma saya agak jengkel dengan scene merajuk sayang inche suami Nani  tu. Saya tau darjat suami lebih tinggi daripada isteri. Tapi kalau asyik menguji aja, tak ke jenuh si isteri nak memujuk? Mungkin bagi orang lain ia nampak manis tapi bagi saya ia scene berulang dan agak drama di situ. Mujurlah tak ada scene dan konflik yang buat saya stress. Phew. :) Apa pun, syabas buat penulis untuk percubaan pertamanya ini. Semoga maju jaya dan mudah-mudahan perjuangan tak terhenti setakat ini. :)  

Tuesday, October 15, 2013

Kisah dari Hati

Posted by Hajar at 11:12 PM 4 comments

Tajuk: Kisah dari Hati
Penulis:  -
Penerbit: Idea Kreatif Publication
Harga: RM23.00
Sabah/ Sarawak: RM 26.00
Halaman:  602 mukasurat
ISBN: 9789671192566

Kisah Dari Hati terdiri daripada 15 cerita-cerita pendek hasil gabungan 7 orang penulis. Kebanyakan kisah dalam ini adalah lanjutan daripada kisah-kisah yang pernah dilakarkan penulis dalam novel-novel mereka yang pernah dan bakal diterbitkan. Antaranya  Dia Random Guy (Farah Husain), Pergi Tanpa Alasan dan Harga Sebuah Cinta (Hani Fazuha), Dekat Padamu dan Pujuk Hati Dia (Sarnia Yahya), Romeo Vs Juliet (Que Sera Sera) serta Awek Pisang Goreng (Syah Shah). Oh, satu lagi buku ini adalah edisi terhad. Belian hanya secara online kerana cetakannya terhad. Maka, cepat-cepatlah dapatkannya sementara stok masih ada. Ceh, dah macam tukang promosi pula. :P

Okay, macam biasa saya cuma pilih cerpen-cerpen yang saya suka untuk diulas. Hihi.

1. Maaf Tak Indah - Emy Roberto.
Walaupun dah pernah baca di blog penulis dulu, saya tetap baca kisah ni tanpa skip. :) Kisah Syazan Shahira (Syazan) yang dipaksa berkahwin dengan pilihan keluarga. Kebaikan yang ditabur Raimi dijadikan tiket untuk mengambil kesempatan sehingga tergamak untuk membunuh zuriat sendiri. Kesilapan Syazan menyebabkan dirinya dimusuhi Raimie sehingga anak mereka dilahirkan. Adakah kemaafan buat Syazan setelah dia benar-benar menyesali perbuatannya dahulu?

2. Rahsia Kita - Anna Lee  
Nuha yang sedang buntu dengan masalah hidupnya tiba-tiba rasa dilimpahi cahaya bila terbaca iklan mencari jodoh di ruangan iklan dalam suratkhabar. Tanpa berlengah, Nuha menghantar resume permohonan dan diterima untuk proses saringan. Tak lama selepas perkenalan dengan Nuha, Amri bersetuju untuk bernikah walaupun  agak hairan bila gadis secantik Nuha rela untuk bernikah dengannya. Rupanya ada rahsia yang disembunyikan Nuha. Apakah tindakan Amri selepas mengetahui rahsia yang disembunyikan Nuha? Sungguh, cerpen ini memang jadi pengubat kekecewaan saya pada novel Terukir Cinta. Terima kasihlah wahai penulis. :)

3. Romeo Vs Juliet - Que Sera Sera
Permusuhan antara abang-abang mereka (Rashdan dan Adnan) merapatkan hubungan antara Serafina dan Izz Rizqi yang dipanggil Mr. Panda oleh Serafina. Izz Rizqi umpama penyelamat untuk Serafina. Cuma bila Adnan dan Rashdan bergaduh besar disebabkan mereka, Rashdan dan Serafina terpaksa bertukar sekolah. Terputus sudah hubungan antara Serafina dan Izz Rizqi.  Siapa sangka Mr. Panda yang gemuk suatu waktu dulu sudah bertukar rupa? Pertemuan kembali bila Serafina menyambung pengajiannya di Surrey merapatkan kembali hubungan mereka. Siap bernikah lagi tanpa pengetahuan keluarga mereka. Haish. Entah berjaya entah tidak mereka ni damaikan Rashdan dengan Adnan tu. Kena bersabar tunggu sambungan dalam novel la agaknya. :)

4. Isteri Soleh Suami Solehah - Syah Shah
Irdina Hanani (Din) dan Faizul Shah (Fai) bersatu selepas dianiaya oleh Fawwaz, adik Fai. Fawwaz ni sebenarnya kecewa sebab Din menolak hasrat hatinya. Jadi, termetrailah ikatan antara Fai dan Din angkara Fawwaz. Din yang kekok dengan status barunya memang susah nak terima Fai. Fai pun tabah aja melayan kerenah Din yang kasar ni. Lembut-lembut Fai ni pun, dia sangat protective. Lebih-lebih lagi bila Fawwaz mula membuat onar dalam perkahwinan mereka. Kuatkah mereka berdepan dengan cabaran ini? Tercapai tak agak-agaknya misi mereka nak jadi isteri soleh dan suami solehah tu? Ahaha. Saya suka tajuk cerita ni yang catchy. Kata salah seorang teman saya, lepas baca kisah ni kena terjun telaga. Manis sangat! :P

Komen saya: Memang diakui, himpunan cerpen dalam ni manis-manis belaka. Kena sediakan bekalan air masak secukupnya sesudah baca Kisah Dari Hati ni. :P Tahniah dan terima kasih buat penerbit atas usaha menerbitkan himpunan kisah-kisah yang manis ini. Selamat maju jaya juga untuk kesemua penulis yang terlibat dalam Kisah Dari Hati ni. Saya suka baca kisah-kisah pendek ni sebab kebanyakkan kisahnya senang dan mudah hadam. Tak perlu nak  stress dengan macam-macam konflik seperti dalam novel. :) 

Saturday, October 12, 2013

Eksperimen Cinta - Anjell

Posted by Hajar at 11:46 PM 2 comments
Tajuk: Eksperimen Cinta
Penulis: Anjell
Penerbit: Penerbitan Karyaseni Sdn. Bhd.
Harga: RM30.00
Sabah/ Sarawak: RM 33.00
Halaman: 843 mukasurat
ISBN: 9789670246529

Kerana kecewa bila Seri Husna (bekas teman wanitanya) berkahwin dengan Tengku Andrean Shah (adik kembarnya), Tengku Aaron Shah (Aaron) memang dah tak percaya pada cinta. Selama ini, perempuan di sekelilingnya hanyalah sebagai teman berhibur sahaja sehinggalah Farisha Damia (Damia) muncul dalam hidupnya. Tertarik dengan sikap tegas dan selamba Damia, Aaron tak mahu bertangguh untuk mengikat Damia dalam hidupnya. Si gadis mahu dijadikan bahan eksperimennya.

Bagi Damia pula, Aaron bukanlah lelaki idamannya. Berlagak, perasan bagus, kasanova dan segala perkara yang negatif  kelihatan di mata Damia. Namun, pilihan yang diberikan Aaron buat Damia buntu. Kata Aaron, kalau mahukan tajaan bernilai jutaan ringgit itu, Damia perlu menerima lamarannya. Haish. Atas rasa tanggungjawabnya pada syarikat, Damia terpaksa menerima lamaran Aaron. Siap tambahan syarat ala-ala pisau cukur untuk buat Aaron berundur. Tapi, ada si Aaron tu hairan? Haha.

Bukan mudah mahu menyesuaikan diri dalam perkahwinan mereka ini. Walaupun Aaron bersikap kerek  dan sinis, Damia masih tetap selamba dan tabah melayani Aaron selayaknya seorang suami. Tanpa Aaron sedar layanan Damia membuat hatinya terusik. Hakikatnya Damia bukanlah seperti wanita-wanita yang mendampinginya untuk kemewahan. Akhirnya Aaron tewas dengan perasaannya sendiri bila Damia mula menjauhkan diri. Eksperimen gagal!

Setelah bahagia menjengah, datanglah pula bekas teman wanita Aaron menabur fitnah. Haish. Leburkah kepercayaan Damia terhadap Aaron?


Komen saya: Yeah, kisah ni kisah tipikal. Kahwin paksa atau lebih tepat lagi dipaksa berkahwin tanpa rela.  Tapi berjaya dilakarkan dengan baik oleh penulis. Maksud baik bagi saya adalah, tiada konflik meleret-meleret sampai saya rasa nak lempar buku dalam longkang. Hahaha.  Gaya bahasanya pun agak santai dan straight forward. Cuma ada sesetengah bahagian terutama di awal penceritaan bagi saya agak meleret. Tahniah Anjell. Keep it up! Moga dikurniakan ilham yang lebat untuk melakar kisah-kisah seterusnya. :)

Tuesday, October 8, 2013

Cintaku Bukan Murah - Aleya Aneesa

Posted by Hajar at 11:01 PM 2 comments
Tajuk: Cintaku Bukan Murah
Penulis: Aleya Aneesa
Penerbit:  Alaf 21
Harga: RM26.00
Sabah/ Sarawak: RM 29.00
Halaman:  620 mukasurat
ISBN: 9789831248805

Perkahwinan Nadra dan Raqib bukanlah atas sebab cinta. Mereka bermula sebagai teman rapat dan kemudian hubungan mereka dinaiktaraf kepada hubungan suami isteri. Itu pun gara-gara Nadra tak mahu dijodohkan dengan Ghazlan, calon pilihan abangnya. Jadi, Nadra memberanikan diri melamar Raqib. :)

Perkahwinan mereka memang tampak bahagia. Lebih rapat berbanding waktu mereka berteman. Memang tak nampak cacat cela lebih-lebih lagi Raqib memang pandai mengambil hati Nadra. Cuma mungkin Raqib lupa, layanan baiknya pada Nadra bukan bermakna Nadra telah maklumi isi hatinya, Jadi hubungan baik mereka masih terbatas bila masing-masing masih memendam rasa.

Kebanyakan menantu perempuan yang kita tahu mesti bermasalah dengan ibu mertua. Berbeza dengan Nadra, cabaran hebatnya adalah bila terpaksa berdepan dengan Idlan, adik ipar yang terang-terang menganggap Nadra 'perampas' abang kesayangannya dan datuk juga Raqib, Leftenan Kolonel (B) Tuan Haji Yunus. Datuk Raqib ni tak habis-habis mengungkit dan mengutuk Nadra. Tak pandai buat kopilah, pucatlah. Pendek kata ada saja yang tak kena dengan Nadra setiap kali dia datang bertandang. Tapi dalam tegasnya tu, Nadralah cucu menantu yang diiktirafnya. Dia takkan approve isteri lain untuk Raqib. Tuan Haji Yunus ni memang cool!

Bagi Idlan pula, Nadra harus diperangi habis-habisan. Dia tak rela berkongsi kasih dengan Nadra. Err, bunyinya macam bermadu kan? Hehe. Tapi hakikatnya lebih kurang begitulah. Depan Raqib dan ahli keluarga yang lain, Idlan pandai berlakon dan pandai memutar fakta sehingga tercetusnya pergaduhan antara Raqib dan Nadra. Memang bertepuk tanganlah Idlan jawabnya. Huh.

Ketabahan Nadra mengharungi semua dugaan di rumah mertuanya ranap sekelip mata bila diketahui yang Raqib tak pernah ada sedikit pun perasaan untuknya. Tambah memilukan lagi Nadra turut kehilangan abang dan anak yang dikandungnya pada hari yang sama. Bila Nadra mula menjauhkan diri, mampukah Raqib untuk memujuk hati Nadra yang terluka parah itu?

Komen saya: Seperti biasa, penulis tak pernah lupa menyelitkan unsur-unsur kekeluargaan dalam setiap karyanya. Konflik antara Nadra-Idlan-Tuan Haji Yunus memang nampak cantik aturannya sampai buat saya rasa geram teramat dengan Idlan tu. Kalau ada depan mata memang dah kena luku agaknya. Huh. Nadra pun bukan jenis melawan. Pasrah je menelan ayat-ayat pedas Tuan Haji Yunus tu. Kalau orang lain yang duduk tempat Nadra tu mungkin dah berperang agaknya. :) Apa pun tahniah buat penulis atas garapan terbarunya ini. Moga makin banyak kisah-kisah menarik yang bakal dilakarkan selepas ini. :)  

Monday, October 7, 2013

Terukir Cinta - Anna Lee

Posted by Hajar at 10:47 PM 4 comments
Tajuk: Terukir Cinta
Penulis: Anna Lee
Penerbit: Idea Kreatif Publication
Harga: RM24.00
Sabah/ Sarawak: RM 27.00
Halaman:  615 mukasurat
ISBN: 9789671192528

Nadia si polos yang setia dan sempoi. Dalam hidupnya, hanya dua K yang diimpikan. Kerjaya dan Kahwin. Kerjaya? Oklah, walaupun bukan kerjaya yang menjanjikan kemewahan. Tapi bagi Nadia, cukuplah bagi menampung kehidupan sehariannya. Kahwin? Inilah yang menjadi dilemanya sekarang.

Setelah lima tahun bercinta, Imran masih lagi tidak menunjukkan petanda untuk melamarnya. Jika tiada yang sibuk-sibuk mempersoalkan, memang Nadia boleh berlagak selamba. Tapi bila emak di kampung mula mendesak, serba salah jadinya. Bila diajukan kepada Imran, cuma disuruh bersabar sebab Imran kononnya sedang mengumpul modal untuk membeli rumah kediaman mereka nanti. Mula-mula memang Nadia bolehlah digula-gulakan dengan alasan tu. Bila dah kerap kena provoke  dengan emak sendiri siapa yang boleh tahan kan?

Di sinilah bermulanya adegan ala-ala Dia Random Guy. Sebab dah terlampau geram dengan Imran, Nadia menyahut cabaran Imran. Tanpa berfikir panjang dia nekad melamar entah siapa-siapa lelaki yang lalu di situ. Huh. Mujurlah Mr. K (Khalif)  yang lalu. Kalau mamak kedai tu yang lalu mau meraung agaknya Nadia kat situ. Hihi. Khalif yang serabai ni boleh pula melayan permintaan tak masuk akal si Nadia ni. Nadia tak pedulilah, siapa pun yang dia lamar tu. Janji misinya untuk membuat Imran cemburu tercapai. Sudahnya Imran buat tak kisah. Siap bersetuju untuk berpisah. Heh.

Yang menariknya, lepas aja putus dengan Imran Nadia kerap bertemu dengan Khalif sebab Khalif ni sentiasa je muncul waktu Nadia memerlukan. Macam stalker pun iya. Bila Maisara, teman sepejabat Nadia mula meng'gedik' dengan Imran. Khaliflah manusia yang menjadi penyelamat. Macam dirancang-rancang pula kan?  Bila dah mula serasi, sesuatu berlaku hingga membuat Nadia tersepit antara Imran dan Khalif. Siapa akhinya yang bakal jadi pelengkap K yang dicari Nadia?

Komen saya: Cerita ni memang nampak agak menarik awalnya, tapi graf suka saya makin menurun di pertengahan cerita sehingga akhir. Hmm. Mungkin rasa terganggu dengan sikap Nadia yang goyah ditambah pula bila terbongkar identiti Maisara di penghujung cerita. Bagi saya perancangan mereka nampak kejam walaupun tujuannya baik. Imran tu dah macam mangsa uji kaji pula. :P Tapi, lain orang, lain rasanya kan? Saya pasti ramai yang jatuh hati dengan Khalif ni nanti. :) Tahniah buat penulis untuk buah tangan terbarunya ini. Moga terus maju jaya dan dilimpahi ilham untuk kisah-kisah seterusnya.  Tak lupa juga terima kasih buat si pemberi buku. Moga makin murah rezeki. Amin! :)     
 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review