Sunday, March 30, 2014

1, 2, 3... Bintang Di Langit

Posted by Hajar at 12:08 AM 2 comments
Tajuk: 1, 2, 3... Bintang Di Langit
Penulis: Bidayatul H.
Penerbit: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Harga: RM 21.00
Sabah/ Sarawak: RM 24.00
Halaman:  514 mukasurat
ISBN: 9789670508573

Kerap kali kita diingatkan, antara seorang lelaki dan seorang perempuan bila berkawan baik, pasti ada salah seorang di antara mereka yang tergelincir perasaan. Begitu juga yang terjadi kepada Nur Farha (Ji’a). Rupanya dalam meniti usia remajanya, Ji’a mula mengagumi Ahmad Farhan (Pa’an). Siapa sangka Pa’an yang manja kededek (manja teramat) dan selalu menjadikan Ji’a sebagai pelindung di kala dibuli Malik, teman sekelas mereka mampu memikat hati seorang Nur Farha? Namun, rasa yang dialami Ji’a hanya disimpan rapat dalam hatinya sehinggalah rasa hatinya terbongkar bila Pa’an menemui buku catatan Ji’a.

Hubungan rapat mereka terputus kerana insiden itu. Masing-masing tidak berusaha memulihkan hubungan yang tercalar sehinggalah Pa’an mendengar berita yang Ji’a bakal dilamar. Hubungan yang sedia retak bertambah retak bila Pa’an menentang hasrat Ji’a untuk menerima lamaran Hardi. Huh, kalau saya pun hangin. Sudahlah kes dulu tak selesai, lepas tu suka-suki nak halang keputusan saya. Eh, emo pulak. :P

Lapan tahun berlalu, takdir mempertemukan mereka kembali di tempat kerja yang sama. Sungguhpun kisah zaman hingusan mereka itu telah lama berlalu, mereka tetap rasa kekok. Biarpun Pa’an selalu berusaha untuk mendekati, Ji’a tetap kekal menjauh. Last resort, Pa’an terpaksa menggunakan media sosial untuk mendekati Ji’a. Misi utamanya untuk memohon maaf atas keterlanjuran katanya pada Ji’a dulu. Antara Pa'an dan Ji'a, ada kenangan yang mengikat mereka. Mampukah Ji’a memaafkan Pa’an seikhlas hatinya? Dan mampukah hubungan mereka kembali seperti bertahun-tahun dulu?

Komen saya:

1. Kisahnya sangatlah mudah. Santai. Manis. Lebih-lebih lagi penamatnya. Buat saya rasa nak dengar lagu M Nasir berkali-kali. Hihi. ;)

2. Rasanya ramai je di antara kita pernah lalui kisah sebegini kan? Kadang-kadang ada yang bermasam muka sampai bertahun-tahun hanya kerana sebab yang kecil. Puncanya? Ego!

3. Memetik kata-kata Ustaz Pahrol, “Memaafkan itu memerlukan kasih sayang. Melupakan itu pula memerlukan masa.” Maaf. Perkataan yang mudah tapi payah untuk diungkapkan. Lebih-lebih lagi bila sikap ego beraja dalam dada. Percayalah, bila kita memohon maaf dan ikhlas memaafkan, hati akan jadi tenang tanpa rasa dendam di hati. :)

4. Suka dengan persekitaran yang ditonjolkan dalam kisah ini. Suasana kampung. Bendang. Anak-anak kampung yang bermain selut dan lumpur. Wah, tiba-tiba rindu nak balik kampung. :)

5. Suka dengan unsur kekeluargaan dan persahabatan yang ditampilkan dalam naskhah ini.

6. Tak sangka kisah yang pernah saya ikuti di blog penulis ni dah jadi karya bercetak. Tahniah buat penulis atas kelahiran karya sulungnya ini. Maaf, bukan sengaja melambatkan review. Cuma belum ketemu waktu sesuai untuk menaip. :) Selamat maju jaya untuk karya seterusnya. We want moreee. Hahaha. :P 

Saturday, March 29, 2014

Tiba - Tiba Dia Ada

Posted by Hajar at 10:19 PM 0 comments
Tajuk: Tiba - Tiba Dia Ada
Penulis: Rehan Makhtar
Penerbit: Penulisan Enterprise
Harga: RM25.00
Sabah/ Sarawak: RM 28.00
Halaman: 647 mukasurat
ISBN: 9789670567211

Kalau dulu kita pernah menangis bersama Mukhlis dan Anahara dalam kisah Ku Ingin Milikimu, kali ni kita di bawa mengikuti perjalanan Aryana Mukhlis, anak sulung pasangan ini. Aryana dikatakan cukup istimewa bagi mereka berdua kerana lahir di tengah kemelut rumah tangga kedua ibu bapanya. Aryana dibesarkan mengikut gabungan acuan kedua ibu bapanya. Dalam kelembutannya tersembunyi ketegasan yang membuat si bapa begitu mempercayainya untuk menerajui Muhara. Cuma ibu bapa mana yang tak risau bila si anak belum berteman bila umur sudah menghampiri 30-an?

Tiba-tiba muncul Zakhri Adha (Ayie), anak lelaki tunggal Zafran dan Anaresa (Kerana Sekali Cinta) yang bakal dijodohkan dengan Aryana. Walaupun kedua ibu bapa Aryana menyerahkan 100% keputusan di tangannya, Aryana dapat merasakan yang mereka mengharapkan Aryana menerima Ayie. Setelah penat bersoal jawab dan bertarik tali, kedua mereka akhirnya ditunangkan dan dinikahkan dalam tempoh kurang dari dua minggu. Phew, memang ekspres.

Namun, bila mengetahui hakikat mereka disatukan memang melukakan Aryana. Mana tidaknya, kedua ibu bapa Ayie mengesyaki yang Ayie sebenarnya gay selepas menerima sekeping gambar Ayie dan teman serumahnya dalam keadaan yang mencurigakan. Erk! Jadi, Aryana dipilih untuk memimpin Ayie pulang ke pangkal jalan. Walau puas dinafikan Ayie, kedua ibu bapanya tetap bertegas untuk menjodohkannya dengan Aryana. Aryana memilih untuk mempercayai Ayie walaupun kedua ibu bapa mertuanya sendiri mencurigai Ayie. Di sinilah kita nampak kematangan Aryana yang tak mudah melatah dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada suami.

Pulang ke Berlin, dalam tempoh mereka berdua mula menyesuaikan diri antara satu sama lain, satu demi satu kebenaran terungkap. Termasuklah hakikat yang Ayie sebenarnya dah lama menyimpan perasaan terhadap Aryana. Pengakuan Ayie ni tiba-tiba buat saya teringat Shark dan Anaz (Lazuardi). Macam manalah rasanya bercinta dengan lelaki yang lebih muda bertahun-tahun eh? Hehe. :P

Sesuatu berlaku kepada Muhara dan memerlukan kehadiran Aryana. Mampukah Aryana dan Ayie menangkis segala dugaan dan cabaran yang melanda di saat mereka berjauhan?

Komen saya : Banyak sangat perkataan tiba-tiba, oh maiii dan juga 'bau hanyir' yang (bagi saya) agak mengganggu pembacaan. Letih kot baca pengulangan yang berkali-kali. Tapi, sikap Aryana yang matang banyak menyelamatkan paras mood saya. :) Yelah, selalu kita dihadapkan dengan heroin yang suka melarikan diri bila ada masalah atau kecewa dengan pasangan (yang kadangkala mencecah beberapa tahun). Aryana ni boleh masuk kategori heroin jiwa kental err, walaupun pernah juga tertewas dengan fitnah. Lumrahlah kan? Mana ada manusia yang sempurna? Sokongan ahli keluarga juga buat Aryana kuat berdepan dengan segala cabaran. :) Tahniah RM untuk Arayie. Boleh tak nak kalau request sambungan kisah Aryan / Julita atau kisah Auni / Iman Firdaus? :p

P/s : Sekali lagi kredit untuk Mai. :)

Monday, March 24, 2014

Dia... Mr Model

Posted by Hajar at 10:59 PM 3 comments
Tajuk:  Dia... Mr Model
Penulis: Wawa Taufik
Penerbit: Idea Kreatif Publication
Harga: RM23.00
Sabah/ Sarawak: RM 26.00
Halaman:  542 mukasurat
ISBN: 9789671226742

Siapa sangka model terkenal yang berpakej lengkap boleh jatuh hati dengan gadis biasa? Azka Mikael (Mika) tak pernah jatuh hati dan berhubungan serius dengan mana-mana wanita sehinggalah dia bertemu dengan Safa Salena (Safa). Hmm, lelaki macam ni satu dalam beribu kot? Pertemuan pertamanya dengan Safa begitu membuatnya tertawan. Rupanya si gadis idaman merupakan salah seorang pekerja kesayangan di hotel milik keluarganya. Sayangnya Mika diberitahu bahawa Safa sudah pun bertunang. Aiseh!

Safa pula sebenarnya masih lagi bersedih selepas pertunangannya selama 2 tahun putus di tengah jalan hanya kerana Adli (bekas tunangan Safa), merasakan Safa terlalu kolot untuk dibawa bersosial. Aduhai. Macam ni punya orang pun ada? Haish. Yang peliknya tak berapa lama lepas pertunangan mereka putus, Adli ni macam orang gila talak, tak habis-habis mengganggu Safa. Kebetulan, Mika datang menjadi penyelamat dan bermulalah hubungan baik antara mereka berdua.

Bukan mudah Mika nak menawan hati Safa. Pakej lengkap yang dimilikinya bahkan kedudukanya sebagai anak tuan punya hotel tempat Safa bekerja bukan tiket untuk menggoda Safa. Namun, keikhlasan Mika mengatasi segalanya. Gangguan demi gangguan yang daripada Adli terhadap Safa membuatkan Mika tekad untuk melamar Safa. Yelah, selagi Safa masih belum terikat, selagi itulah si Adli ni tak sudah-sudah mengganggu.

Namun, bila kebahagiaan mula menjengah, satu demi satu dugaan mendatang. Mampukah Safa dan Mika mempertahankan kebahagiaan mereka?

Komen saya:

1. Cerita santai yang tak memberatkan kepala. Memang takde rasa nak campak buku masuk lombong pun. :)

2. Suka dengan suasana kekeluargaan yang ditampilkan. Perbezaan agama dalam keluarga Mika bukan penghalang hubungan kekeluargaan yang utuh antara mereka.

3. Pendidikan yang diterapkan keluarga Mika padanya sampai dia sendiri tak pernah melampaui batas yang sepatutnya walaupun banyak peluang untuk dia berbuat demikian. Phew!

4. Penggunaan bahasa ‘rojak’ yang kadangkala tak sesuai / tak kena tempat.

5. Agak ‘penat’ dengan sikap Safa yang terlampau rendah diri dan mudah dimanipulasi. Hadoi!

6. Azka Mikael yang terlebih gula.

7. Ada adegan manis bergula yang tak sesuai untuk tatapan umum. Jadi sendiri mau ingatlah ya? :)

8. Apa pun tahniah dan syabas buat penulis atas percubaan pertamanya. Moga dikurniakan ilham untuk menghasilkan kisah yang lebih ‘boom’ daripada kisah Mika dan Safa. :)

P/s: Kredit untuk Mai. :) 

Monday, March 17, 2014

Mungkinkah?

Posted by Hajar at 10:10 AM 0 comments
Tajuk: Mungkinkah?
Penulis: Hanni Ramsul
Penerbit: Penerbitan Kaki Novel Sdn. Bhd.
Harga: RM32.00
Sabah/ Sarawak: RM 35.00
Halaman:  926 mukasurat
ISBN: 9789670448602

Setelah sekian lama menanti, akhirnya muncul juga karya kelima penulis ini. Saya setuju dengan pendapat seorang teman yang mengatakan bahawa kita jarang bertemu watak antagonis lelaki dalam sesebuah karya. Kali ni bukan setakat seorang, ramai pula tu. Hish!

Radhi:
Perkahwinannya dengan Arisa hanya membahagiakan di permulaan. Selepas beberapa bulan kemudiannya, Radhi mula memeras wang Arisa. Atas keyakinan yang Radhi akan berubah, Arisa mendiamkan perbuatan Radhi sehinggalah mereka terpaksa berpindah ke rumah keluarga Arisa kerana tak mampu hendak membayar sewa rumah. Belang Radhi terbongkar jua akhirnya. Namun, Radhi tak pernah kisah malah masih tega menyusahkan Arisa dan keluarganya. Sanggup pula berkahwin kali kedua walaupun dah nyata tak mampu nak menyara keluarga. Untuk melepaskan Arisa, Radhi meminta sejumlah wang untuk tebus talak. Tiada pilihan lain, Arisa terpaksa menebalkan muka meminjam wang daripada Encik Karim, majikannya. 

Karim:
Majikan Arisa ini memang ‘nampak’ baik. Bila tahu Arisa dalam kesusahan dia tak keberatan membantu. Sejumlah wang dipinjamkan kepada Arisa untuk membolehkan Arisa membebaskan diri daripada ikatan perkahwinannya. Namun, siapa sangka ‘kebaikan’ majikan Arisa ini dipergunakan oleh Radhi untuk memeras ugut sekaligus memfitnah Arisa? Encik Karim pula seolah-olah mengiakan hubungan ‘skandal’nya dengan Arisa. Haish. Yang paling menyedihkan bila fitnah yang ditaburkan ini turut menyebabkan ayah kesayangan Arisa meninggal dunia akibat serangan jantung. Tertekan dengan situasi dan fitnah yang membelenggu, Arisa tekad meletak jawatan dan kebetulan terus ditawarkan peluang pekerjaan di syarikat keluarga Zariff.

Zariff:
Pertemuan pertamanya dengan Arisa membawa impak yang sangat besar dalam hidup Zariff. Rantai milik Arisa yang ditemui menguatkan lagi semangat Zariff untuk mencari Arisa. Rupanya pencariannya dipermudahkan bila Arisa memohon pekerjaan di syarikatnya. Tanpa berfikir panjang, permohonan Arisa diterima dan Arisa akan menjadi pembantu peribadinya. Bukan senang nak menjinakkan Arisa kerana Arisa bukanlah seperti wanita-wanita yang pernah didampinginya sebelum ini. Tapi, bila mengetahui yang Arisa terbelenggu dengan masalah hutang dengan majikan terdahulu, Zariff mula menjalankan misi untuk ‘memiliki’ Arisa. Tersepit dengan hutang dan juga ugutan Zariff, Arisa memilih untuk menikahi Zariff (semestinya tanpa pengetahuan Puan Zahra, ibu Zariff). Sungguh pun niat asal Zariff hanyalah untuk memiliki Arisa, namun lama-kelamaan Zariff akui perasaannya terhadap Arisa. Cuma, macam mana caranya nak yakinkan Arisa sedangkan Puan Zahra sudah ada rencana untuk menyatukan Zariff dengan Nabila?

Arisa:
Bagi Arisa pula, cinta tak membawa apa-apa maksud kepada dirinya selain kegagalan dan kesengsaraan. Mana tidaknya, walaupun dah bercerai, Radhi tak jemu-jemu menggangu hidupnya. Perbuatan Radhi terhadap dirinya dan keluarga bawa impak besar sehingga Arisa jadi keras hati dan kebal dengan pujuk rayu lelaki. Perkahwinannya dengan Zariff pula ibarat keluar mulut buaya masuk ke mulut naga. Hasrat Zariff untuk memilikinya terpaksa dihalalkan demi untuk melangsaikan hutang Arisa. Selagi diperlukan, Arisa masih akan bersama Zariff. Bila Zarif mula menyedari perasaannya, Arisa meragui. Sejarah warna-warni hidup Zariff terlalu payah untuk disisihkan. Ditambah pula dengan perancangan Puan Zahra untuk menyatukan Zarif dengan Nabila, menyurutkan paras keyakinan Arisa terhadap luahan perasaan Zariff. Mungkinkah hati Arisa yang beku itu bisa dilenturkan?

Komen saya: Memang karya penulis tak pernah menghampakan. Walapun berpaksikan plot perkahwinan tanpa rela , garapan penulis berjaya buat kita rasa tak jemu dengan ‘cerita yang sama berulang kali’. Gaya bahasa yang biasa dan tak terlampau berbunga buat kita senang nak menghadam cerita. Satu perkara tentang karya penulis ni yang saya suka adalah penggunaan nama-nama biasa (atau nama golongan marhaen bak kata Airina) untuk watak-watak dalam kisah-kisah yang dilakarkan. Takdelah sampai tergeliat lidah nak menyebut nama watak kan? :P Dan satu lagi, saya suka metafora penulis dalam menzahirkan adegan ‘terlebih gulanya’. Yang terlampau tak jadi terlampau okay? Macam tengok cerita Melayu dulu-dululah, lepas adegan pelakon wanita dan lelaki duduk berdua, tiba-tiba muncul gambar rumput atau daun dengan titis embun. Ohh, diorang berborak sampai pagi rupanya. Hahaha. Itu pemikiran kanak-kanak seusia saya masa itulah. :P Eh, panjang pula komennya. Hahah. Tahniah dan terima kasih diucapkan buat Kak Hanni Ramsul. Puas hati walaupun buku cuma terbit setahun sekali. Moga dikurniakan ilham yang lebih mantap untuk karya-karya yang akan datang. :) 

Hadirkan Cinta Buat Aku

Posted by Hajar at 9:06 AM 0 comments

Tajuk: Hadirkan Cinta Buat Aku
Penulis: Tulip Ungu
Penerbit: Intens Idea International Sdn. Bhd.
Harga: RM 25.00
Sabah/ Sarawak: RM 28.00
Halaman: 628 mukasurat
ISBN: 9789675289262

Kerana tak mahu memenuhi permintaan melampau bapa saudaranya, Sara Adelina (Sara) melarikan diri dari rumah. Pelarian itu menemukan dirinya dengan keluarga Syarifah Radziah. Kenaifan dan keikhlasan Sara mengasuh Emma Safiyya menambat hati tua Syarifah Radziah. Lantas dia mencadangkan Syed Ziqri untuk melamar Sara untuk menjadi pengganti isteri sekaligus menjadi ibu kepada Emma Safiyya.

Perkahwinan mereka berlangsung dan segalanya tampak sempurna sehinggalah Syed Ziqri tiba-tiba menyedari yang dia sebenarnya masih belum dapat melupakan Syarifah Sofea, arwah isterinya. Syed Ziqri meninggalkan keluarganya dan isteri yang sudah berbadan dua untuk mencari ketenangan. Kononnyalah. Heh.

Lima tahun kemudian Syed Ziqri kembali dengan niat untuk mengahwini kekasihnya, Syarifah Letisha yang juga merupakan sepupu kepada arwah Syarifah Sofia sekaligus menyelesaikan isu perkahwinannya dengan Sara. Kepulangan Syed Ziqri menemukannya dengan isteri yang semakin matang berserta anak-anak yang telah ditinggalkannya. Sara yang masih berjauh hati dengan Syed Ziqri tak pernah mengendahkan kepulangan suaminya. Kerana rasa tercabar dengan sikap tak endah Sara, Syed Ziqri berusaha menarik perhatian Sara dan anak-anaknya. Tanpa disedari rupanya tindakannya itu membuat dirinya makin terikat dengan isteri dan anak-anaknya.

Bila menyedari yang dirinya sudah mula terikat dengan isteri dan anak-anak, Syed Ziqri memutuskan hubungan dengan Syarifah Letisha dan memulakan misi menambat hati Sara. Sara pula bukannya tak sayangkan Syed Ziqri, tapi kerana kecewa ditinggalkan selama bertahun-tahun, Sara bimbang Syed Ziqri hanya mahu merampas perhatian anak-anak daripadanya.

Usaha Syed Ziqri tidak sia-sia bila akhirnya Sara turut membalas kasih sayangnya. Namun sesuatu berlaku kepada syarikat memaksa Syed Ziqri meminta pertolongan Syarifah Letisha. Tegakan Syed Ziqri melukakan Sara sekali lagi semata-mata untuk menyelamatkan perniagaan keluarganya?

Komen saya: Cerita ni memang menuntut kesabaran emosi berganda lebih-lebih lagi bila melibatkan Syed Ziqri. Tak suka Syed Ziqri bila dia:

1. Tak bertanggung jawab dan lari tinggalkan isteri dan anak selama bertahun-tahun. Bukannya Sara tak pernah hubungi dia tapi boleh dia buat tak endah? Huh..
2. Pernah fikir nak ‘serahkan’ Sara kepada kawan baiknya sendiri sebelum dia tinggalkan Sara. Hilang akal ke apa lelaki ni?
3. Berlengah-lengah nak buat keputusan selepas balik ke Malaysia.
4. Tak mahu mengaku perasaannya terhadap Sara sedangkan dia sedar dan rasa tercabar bila tahu Sara sentiasa jadi perhatian lelaki lain.

Mujurlah gambaran wataknya makin ‘putih’ selepas dia sendiri menyedari perasaannya terhadap Sara. Dan, saya sukakan watak Sara Adelina yang tegas dan tak mudah mengalah. Tak pernah sekali pun dia tergoda atau termakan dengan pujuk rayu lelaki sebab masih sedar dengan kedudukan dan statusnya sebagai seorang isteri. 

Saya tak pernah baca buku-buku terdahulu penulis jadi tak boleh nak bandingkan gaya bahasanya dalam karya terdahulu. Tapi jujurnya saya senang dengan gaya bahasa penulis ni. Cuma ada beberapa kesilapan penggunaan kata nama khas yang mungkin tak disedari semasa proses pengeditan. Apa pun, tahniah buat penulis atas kelahiran karya ketiganya. Semoga maju jaya untuk karya-karya seterusnya. :)

Sunday, March 2, 2014

Lelaki Januari

Posted by Hajar at 10:48 PM 2 comments
Tajuk: Lelaki Januari
Penulis: Hafizah Iszahanid
Penerbit: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Harga: RM 20.00
Sabah/ Sarawak: RM 23.00
Halaman:  419 mukasurat
ISBN: 9789670508528

Bagi saya buku ini memang bermain dengan emosi. Jadi memang kena bertabah waktu membacanya. Dan 3 watak yang bikin emosi saya mencanak naik semasa membaca kisah ini adalah:

Ali Syukri 
Perkahwinan di usia muda memang banyak mengundang masalah sekiranya suami isteri tak mampu berkomunikasi dan bertoleransi dengan baik. Begitulah yang terjadi dengan perkahwinan Ali Syukri dan Delaila Azilah (Delaila). Masing-masing lebih mengutamakan kehidupan dan keperluan sendiri tanpa memikirkan kepentingan bersama. Lebih kronik bila ada yang suka mengambil kesempatan mengeruhkan keadaan yang sedia keruh. Huh. Ali Syukri pula lebih percayakan kata-kata Wairah (yang kononnya kawan baiknya semenjak zaman persekolahan) berbanding Delaila. Aduhai. Manalah Delaila tak makan hati? Kemuncak emosi saya kepada Ali Syukri adalah apabila dia sanggup meninggalkan Delaila yang sedang hamil hanya untuk memancing bersama rakan-rakannya termasuk Wairah. Grrrr!!

Wairah
Title 'kawan baik' selalu dijadikan alasan untuk Wairah mendekati Ali Syukri. Sehinggakan apa yang diperkatakannya lebih dipercayai oleh Ali Syukri berbanding kata-kata Delaila. Sikapnya yang tak mahu mengalah memang buat yang membaca ni jadi menyampah. Haha. Nak menang selalu. Sampai sanggup meruntuhkan rumahtangga 'kawan baik' sendiri semata-mata kerana mahu bersuamikan Ali Syukri. Waktu ada dalam genggaman tak mahu hargai. Bila dah dilepaskan baru terhegeh-hegeh nak kembali. Terfikir juga, Wairah ni sibuk kejar dan pujuk Ali Syukri kembali sebab Haifa, anak mereka atau kerana tak mahu kalah di tangan Delaila?


Delaila Azilah
Kegagalan dalam perkahwinan membawanya jauh dari keluarga dan masa lalunya dengan harapan segala kenangan pahit itu dapat dilupakan. Namun, mana mungkin cinta pertama dilupakan dengan mudah? Saat-saat manis pertemuan dan perkenalan mereka masih basah di ingatan Delaila. Justeru Delaila tak pulang ke Malaysia bertahun-tahun hanya kerana tak mahu dihantui kenangan pertemuan dengan Ali Syukri di kampung halamannya. Siapa sangka walau jauh Delaila membawa diri, perancanganNYA menemukannya kembali dengan Ali Syukri. Mungkinkah pertemuan kali ini membawa petanda yang Tuhan sedang memberi mereka peluang kedua untuk memperbaiki kesilapan lampau mereka?

Cuma saya agak terkilan bila watak Hud Sulaiman itu tidak dikembangkan sewajarnya. Sungguhpun wataknya kecil, tapi berupaya menyembuh luka. Seolah macam hujan yang turun di bumi yang ditimpa kemarau. Walaupun hujan yang turun taklah lebat mana, tapi bawa impak besar kepada bumi. Ha, nampak tak metaforanya tu? Haha.

Komen saya:

Tahniah buat penulis kerana:

1. Berjaya memancing turun naik emosi saya semasa membaca kisah Ali Syukri - Delaila - Wairah ini.

2. Berjaya memartabatkan bahasa Melayu dengan sebaiknya. Penggunaan bahasa Inggeris sangat minima walaupun hampir 50% latar penceritaannya di luar negara.

3. Berjaya membuatkan saya menyukai kisah ini walaupun saya agak beremosi bila membacanya. Phew..

4. Berjaya selang-selikan emosi pembaca dengan info-info tentang Kemboja, doctors without borders, UNESCO etc. Sekurang-kurangnya tak adalah rasa macam nak lempar buku bila rasa stress membaca. :)

Bukunya nipis dan kisahnya mudah. Tapi mampu bawa kita merenung jauh. Fuh. Memang lazimnya manusia tu tak pernah bersyukur dengan apa yang mereka ada. Biasanya yang tiada tu di cari tapi yang di depan mata diabaikan. Aduhai...

"Cinta itu adakala menandakan sebuah pertemuan...berada dalam hati, utuh dalam memori...tetapi tidak memungkinkan penyatuan dua hati - HI"


 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review