Monday, March 17, 2014

Hadirkan Cinta Buat Aku

Posted by Hajar at 9:06 AM

Tajuk: Hadirkan Cinta Buat Aku
Penulis: Tulip Ungu
Penerbit: Intens Idea International Sdn. Bhd.
Harga: RM 25.00
Sabah/ Sarawak: RM 28.00
Halaman: 628 mukasurat
ISBN: 9789675289262

Kerana tak mahu memenuhi permintaan melampau bapa saudaranya, Sara Adelina (Sara) melarikan diri dari rumah. Pelarian itu menemukan dirinya dengan keluarga Syarifah Radziah. Kenaifan dan keikhlasan Sara mengasuh Emma Safiyya menambat hati tua Syarifah Radziah. Lantas dia mencadangkan Syed Ziqri untuk melamar Sara untuk menjadi pengganti isteri sekaligus menjadi ibu kepada Emma Safiyya.

Perkahwinan mereka berlangsung dan segalanya tampak sempurna sehinggalah Syed Ziqri tiba-tiba menyedari yang dia sebenarnya masih belum dapat melupakan Syarifah Sofea, arwah isterinya. Syed Ziqri meninggalkan keluarganya dan isteri yang sudah berbadan dua untuk mencari ketenangan. Kononnyalah. Heh.

Lima tahun kemudian Syed Ziqri kembali dengan niat untuk mengahwini kekasihnya, Syarifah Letisha yang juga merupakan sepupu kepada arwah Syarifah Sofia sekaligus menyelesaikan isu perkahwinannya dengan Sara. Kepulangan Syed Ziqri menemukannya dengan isteri yang semakin matang berserta anak-anak yang telah ditinggalkannya. Sara yang masih berjauh hati dengan Syed Ziqri tak pernah mengendahkan kepulangan suaminya. Kerana rasa tercabar dengan sikap tak endah Sara, Syed Ziqri berusaha menarik perhatian Sara dan anak-anaknya. Tanpa disedari rupanya tindakannya itu membuat dirinya makin terikat dengan isteri dan anak-anaknya.

Bila menyedari yang dirinya sudah mula terikat dengan isteri dan anak-anak, Syed Ziqri memutuskan hubungan dengan Syarifah Letisha dan memulakan misi menambat hati Sara. Sara pula bukannya tak sayangkan Syed Ziqri, tapi kerana kecewa ditinggalkan selama bertahun-tahun, Sara bimbang Syed Ziqri hanya mahu merampas perhatian anak-anak daripadanya.

Usaha Syed Ziqri tidak sia-sia bila akhirnya Sara turut membalas kasih sayangnya. Namun sesuatu berlaku kepada syarikat memaksa Syed Ziqri meminta pertolongan Syarifah Letisha. Tegakan Syed Ziqri melukakan Sara sekali lagi semata-mata untuk menyelamatkan perniagaan keluarganya?

Komen saya: Cerita ni memang menuntut kesabaran emosi berganda lebih-lebih lagi bila melibatkan Syed Ziqri. Tak suka Syed Ziqri bila dia:

1. Tak bertanggung jawab dan lari tinggalkan isteri dan anak selama bertahun-tahun. Bukannya Sara tak pernah hubungi dia tapi boleh dia buat tak endah? Huh..
2. Pernah fikir nak ‘serahkan’ Sara kepada kawan baiknya sendiri sebelum dia tinggalkan Sara. Hilang akal ke apa lelaki ni?
3. Berlengah-lengah nak buat keputusan selepas balik ke Malaysia.
4. Tak mahu mengaku perasaannya terhadap Sara sedangkan dia sedar dan rasa tercabar bila tahu Sara sentiasa jadi perhatian lelaki lain.

Mujurlah gambaran wataknya makin ‘putih’ selepas dia sendiri menyedari perasaannya terhadap Sara. Dan, saya sukakan watak Sara Adelina yang tegas dan tak mudah mengalah. Tak pernah sekali pun dia tergoda atau termakan dengan pujuk rayu lelaki sebab masih sedar dengan kedudukan dan statusnya sebagai seorang isteri. 

Saya tak pernah baca buku-buku terdahulu penulis jadi tak boleh nak bandingkan gaya bahasanya dalam karya terdahulu. Tapi jujurnya saya senang dengan gaya bahasa penulis ni. Cuma ada beberapa kesilapan penggunaan kata nama khas yang mungkin tak disedari semasa proses pengeditan. Apa pun, tahniah buat penulis atas kelahiran karya ketiganya. Semoga maju jaya untuk karya-karya seterusnya. :)

0 comments:

Post a Comment

 

.:my next playground:. Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review